KUALA LUMPUR : Pelakon, Tiz Zaqyah, 33, memegang prinsip bahawa dunia lakonan adalah kerjayanya namun sebagai seorang individu, dia juga suka untuk memiliki privasi dalam hidup.
Menurut pelakon ini, dia juga bukanlah seorang yang gemar mendambakan perhatian dan mengaku setiap hari berdepan dengan kesukaran untuk tidak ‘dilihat’.
“Saya bukan langsung seorang yang ‘please notice me’ (nak perhatian), faham tak? Saya berlakon sebab saya kena bekerja.
“Saya suka privasi dan suka pekerjaan saya.Faham tak?”katanya dalam satu ciapan di Twitter semalam.
Selain itu, luah Tiz, dia juga mengaku seringkali mempertikaikan penggunaan media sosialnya dan kepentingannya.
Menurut Tiz, dia tidak merasakan satu keperluan untuk dirinya sentiasa mengemaskini media sosial terutama dalam berkongsi gambar.
“Dah tua-tua ini, banyak kali saya pertikaikan penggunaan media sosial. Perlukah saya muat naik gambar untuk orang yang saya tak kenal tengok dan kenal saya menerusi foto-foto itu?
“Ya, saya memikirkan dilema ini. Untuk dilihat atau hanya untuk hidup. Lepas itu, ajak orang yang tak kenal komen pada gambar-gambar itu? Macam tak logik. Tak perlu pun.
“Perlu ke media sosial? Perlu ke nak berhubung dengan semua orang? Perlu ke nak balas komen orang yang kita tak kenal? Perlu ke buat OOTD. Perlu ke nak tayang senyuman? Tiada siapa layak untuk melihat saya tersenyum. Untuk apa?”katanya lagi.
Ciapan itu mendapat beberapa pengikutnya di Twitter dengan ada antaranya mencadangkan agar Tiz mengikut jejak langkah pelakon Izara Aishah yang hanya memuat naik gambar namun menyembunyikan jumlah tanda suka dan menutup ruangan komen.