Masih berbekas dalam ingatan Poklip apabila seorang rakan media mengadu tentang sikap seorang pelakon wanita yang merasakan dirinya terlalu penting dan dunia berputar hanya untuk dia sahaja.
Kisahnya, rakan Poklip tadi ada menghubungi pelakon tersebut untuk meminta penjelasan selepas satu kontroversi melibatkan namanya tular. Yelah, nanti kalau tidak ditanya marah pula kan.
Namun lain pula jawapan pelakon tadi. Dia dengan nada tegas menolak untuk ditemu bual dan mendakwa rakan Poklip hanya tahu menggunakan namanya untuk menjual berita. Oh hebatnya kamu!
Pertama, kontroversi itu awak sendiri yang undang. Bukan dicipta atau dibuat orang lain. Awak sendiri yang muat naik dan apabila mula menerima kecaman, awak marah media yang cuba mendapatkan penjelasan.
Kedua, ketika awak hendak promosi drama atau filem, tahu pula berbaik-baik dan cakap lembut dengan media. Tetapi bila bab menjawab kontroversi, tiba-tiba kami mahu gunakan awak untuk jual berita?
Jangan begitu, kita saling menyokong. Bila memerlukan bantuan untuk promosi, media sudi membantu. Maka apabila kami cuba mendapatkan komen, tolong beri kerjasama.
Tak mahu komen panjang, tak mengapa. Tetapi madahkan kata-kata yang baik. Jangan merendah-rendahkan dan menghina orang lain hanya kerana awak sekarang berada di atas.
Ingat, dunia ini berputar. Bukan untuk awak sahaja ya.