PETALING JAYA: Selepas ramai selebriti wanita mengenakan hijab sempena Maal Hijrah, kini giliran pelakon terkenal, Farah Nabilah pula dilihat tampil berhijab penuh.
Menerusi entri Instagram, pelakon drama Titian Cinta itu memuat naik satu video yang dilihat mengenakan tudung hitam bercorak semasa sedang mempromosi produk bayi kegunaan anakandanya, Andre Omar.
Tinjauan utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet dan pengikutnya melontarkan kata-kata positif buatnya sekaligus mendoakan pelakon tersebut agar terus beristiqamah ke arah perubahan tersebut.
“Subhanallah, cantiknya Farah. Moga terus istiqamah,” komen seorang peminat.
“Cantik bila kita tutup apa yang perlu ditutup, semoga istiqamah,” komen seorang lagi pengikut Instagram pelakon itu.
“Alhamdulillah, manis berhijab penuh. Makin lama makin cantik heroin Malaya ini,” tulis peminatnya di ruangan komen.
Selain itu, turut memuji Farah ialah para selebriti wanita yang sudah dipercayai berhijab penuh seperti Izara Aishah dan Mawar Rashid.
Sebelum ini, pelakon itu sering dilihat kerap mengenakan selendang apabila memuat naik hantaran gambar di entri Instagram miliknya baru-baru ini.
Farah dilihat kerap tampil berpakaian sopan dengan mengenakan baju kurung serta berselendang yang memperlihatkan dirinya bertambah ayu dan jelita.
Sekaligus, mendapat perhatian serta pujian daripada rata-rata peminatnya menerusi ruangan komen.