PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon remaja, Izuan Fitri,Nor Abdul Rani, meluahkan rasa berang terhadap seorang individu yang tidak bertanggungjawab melontarkan komen negatif kepada anaknya yang kini menerima rawatan di hospital akibat penyakit tibi.
Menerusi entri Facebook, Nor memuat naik satu tangkap layar komen individu berkenaan yang didakwa memfitnah anaknya yang dikatakan telah menjangkiti orang sekelilingnya.
“Apa yang kau tak puas hati dengan anak aku? Doktor kata dia tibi tidak berjangkit, kau pula buat palatao. Yang kau komen macam orang tiada akhlak ini bertanggungjawab sangat ke?
“Sengaja nak cari fasal? Di kala seluruh keluarga masih berduka, kau masuk meracun hati semua? Anak aku tibi tak berjangkit, doktor dah sahkan. Kau mereka cipta madah berpujangga tu apa kes?
“Tetapi, Allah itu Maha Besar, semua ahli keluarga aku tidak seorang pun terjangkit. Jadi, tolonglah sensitif sedikit, jaga hati semua orang,” luahnya di Facebook.
Menerusi hantaran yang sama, ibu Izuan turut menyatakan dia sudah disekat oleh individu berkenaan yang didakwa takut menerima kecaman seterusnya.
Terdahulu, pelakon filem Crossroads: One Two Jaga itu disahkan berada di Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut akibat penyakit tibi atau batuk kering.
Kemudian, Nor memaklumkan anaknya, telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur ekoran penyakit berkenaan.