PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak terkenal, Achey berkongsi keadaan ibu tercintanya yang kini masih berada di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut ekoran dijangkiti virus Covid-19.
Menurut Achey, dia juga memaklumkan tiga ahli keluarganya yang lain iaitu adik, anak buah (berusia lingkungan dua tahun) serta ibu bapa kanak-kanak itu disahkan positif Covid-19.
“Setakat ini semuanya okey, ibu saya masih berada di hospital. Keadaan oksigennya masih turun naik. Sekarang ini dia berehat dalam keadaan baring meniarap. Dia kini tahap tiga tetapi dia tempatkan di wad tahap empat disebabkan perlu pemerhatian yang lebih.
“Seterusnya, kakak saya dah pulang ke rumah, tetapi adik pula dibawa ke Johor Bahru, manakala abang saya masih belum balik. Anak buah saya baru berusia lingkungan dua tahun juga positif bersama ibu bapanya.
“Kita pun sedia maklum keadaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sibuk, sama ada mereka perlu diletakkan di pusat kuarantin atau di hospital, kita tidak tahu lagi,” kongsinya menerusi aplikasi Zoom.
Mengulas lanjut, Achey turut memaklumkan tugasnya sekarang adalah memastikan barangan asas untuk keluarga di rumah dan keperluan untuk keluarganya yang berada di hospital terjaga.
Tambahnya, walaupun dalam keadaan kondisi tangannya yang patah sebelum ini, namun dia terpaksa juga membantu ahli keluarganya memerlukan bantuannya sementelah kini mereka masih sedang melawan penyakit Covid-19.
“Setakat ini, apa yang keluarga saya perlukan, hanya saya dan isteri sahajalah menjadi runner, kami saling membantu mana yang perlu. Walaupun dalam keadaan tangan yang patah, terpaksa untuk membuat semua itu,” ujarnya.
Terdahulu, pelawak itu berkongsi khabar duka apabila tiga ahli keluarga iaitu ibu, abang serta kakaknya disahkan positif Covid-19.