KUALA LUMPUR: Berdepan kontroversi sekali lagi apabila dikatakan tidak sensitif terhadap isu bendera putih, usahawan terkenal, Datuk Seri Vida mahu mereka yang berfikiran negatif terhadap kata-katanya untuk cuci hati dahulu.
Jelas pemilik nama sebenarnya Hasmiza Othman, bukan niatnya untuk memperlekeh gerakan bendera putih namun, dia mahu menerapkan nilai usaha dan semangat untuk mereka yang mahu mencuba berniaga.
“Saya bercakap dari perspektif seorang peniaga. Sekarang ini, kalau nak berniaga jangan bagi alasan itu ini. Usaha itu penting. Berniaga depan rumah pun boleh. Cari jalan untuk memulakan sesuatu.
“Bukan saya menentang kempen bendera putih, tetapi sekali dua mungkin orang tolong. Kalau dah masuk kali keempat atau kelima, macam tidak ada usaha. Janganlah berfikiran negatif sangat.
“Bukalah minda dan fikir positif. Nak berniaga, cari jalan yang tak guna modal kalau itu adalah penghalang. Janganlah cari alasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Usahawan yang juga seorang penyanyi ini berdepan cemuhan masyarakat yang menganggap dia memperlekeh mereka yang meminta bantuan dan menyifatkan kenyataannya itu sebagai tidak cerdik.
Dalam perkongsian di Instagramnya, Vida yang sedang berhenti di tepi jalan untuk membeli makanan memuji usaha dan kerajinan seorang pemuda yang tetap mencari rezeki walau dihimpit dengan kesukaran.
Dalam pada itu, Vida juga enggan mengambil pusing komen-komen negatif yang mengatakan dia hanya pandai bercakap dan tidak turun padang untuk membantu mereka yang terjejas teruk dek pandemik ini.
“Saya pun ada menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas tetapi takkan semua nak muat naik dan canang kan. Malah, ada sahaja rumah yang mengibarkan bendera putih saya bantu sedikit sebanyak.
“Tapi ada juga yang malu nak kibar bendera putih. Takut jiran mengata dan ada juga yang tak mahu kibar sebab anak-anak malu. Jadi saya wakilkan kakitangan untuk hulurkan bantuan,” katanya.