KUALA LUMPUR : Penerbit dan pengarah terkenal, Michael Ang enggan ada pihak yang tersalah tafsir berhubung satu kenyataan yang dikongsikannya dalam akaun Instagram tentang penyesalannya apabila ramai tahu dirinya memeluk Islam.
Menurut Michael, dia tidak pernah menyesal memeluk agama Islam tetapi kenyataan itu merujuk kepada perasaan menyesal apabila ramai mengetahui dia beragama Islam.
“Saya menyesal orang tahu diri Islam. Bukan menyesal jadi orang Islam ya. Ia dua perkara yang berbeza,”katanya dalam satu komen balas yang dimuat naik apabila ada pengikut yang mempersoalkan kenyataannya dalam Instagram.
Terdahulu, Michael memuat naik luahan perasaanya tentang tindakan tidak wajar seorang agamawan yang memberi bantuan kepada satu kumpulan penerima di sebuah kampung sambil ‘berkhutbah’ dan mempersoalkan ibadah solat mereka.
Video yang menjadi tular di media sosial itu turut memperlihatkan agamawan tersebut tersedia memakai mikrofon mini yang dikepilkan di baju sambil bercakap dengan lantang selain pemberian bantuan turut cuma dilakukan di tepi jalan raya.
Berkongsikan video tersebut di Instagramnya, Michael melihat tindakan tersebut tidak kena pada caranya selain menganggap penerima terbabit tidak sepatutnya menerima layanan seperti itu.
“Ya, memang saya menyesal! Saya cintakan agama ini tetapi menyesal orang tahu saya Islam sebab benda-benda macam ini. Ia tidak menunjukkan Islam yang sebenarnya.
“Menolong orang yang memerlukan itu adalah Islam, tapi kalau niat hendak menolong dan memalukan orang dan kemudiannya paksa orang solat dan sebagainya, ia bukan ajaran Islam.
“Islam tidak memaksa! Faham kenapa aku malu?”katanya.
Selain itu, Michael juga menganggap tindakan individu tersebut mampu membuatkan lebih ramai orang tersalah anggap dan membenci Islam.
“Tepuk dan tahniah sebab satu video akan buat orang salah anggap dan benci Islam. Macam inikah Allah SWT ajar kita? Nak derma tu derma sajalah. Tak perlulah nak malukan dan buat macam itu, serius ini sangat menyedihkan.
“Semenjak Covid ini, macam-macam pak menteri buat atau keluarkan kenyataan bodoh, saya tak adalah marah atau bersedih sangat. Tapi video ini betul-betul buat saya sedih sampai ke tahap malu dan menyesal orang tahu aku Islam.
“Islam yang aku belajar bukan macam ini! Mungkin niat dia nak tolong itu bagus. Tapi niat kau nak berdakwah itu seolah-olah orang yang berada di situ tak ada harga diri! Anda lebih teruk daripada Israel!”katanya.
Setakat ini, perkongsian Michael itu juga mendapat lebih 1,200 komen yang mana rata-rata pengikutnya melahirkan perasaan kecewa dan sedih berhubung tindakan agamawan tersebut.
Malah, ada juga beberapa rakan selebriti yang dilihat turut terkejut dan memberi komen di ruangan akaun Michael antaranya termasuk Catriona Ross, Chef Adu Imran, Shiha Zikir dan Adira Suhaimi.