"Tiga tahun kami tak raya sama" - Bapa Aizat Hassan meninggal dunia - Utusan Malaysia

“Tiga tahun kami tak raya sama” – Bapa Aizat Hassan meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bapa pelakon Aizat Hassan, Hassan Soan, 77, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4.00 petang, semalam.

Berita pemergian yang menyedihkan dimaklumkan oleh sumber terdekat menerusi kiriman WhatsApp kepada Utusan Malaysia. Pun begitu, maklumat terperinci punca kematian tidak dinyatakan.

“Assalamualaikum, abah Aizat dah meninggal petang tadi (semalam),” maklum sumber.

Usaha mendapatkan Aizat ketika ini masih tidak dapat dihubungi namun pelakon drama Makmum Yang Paling Aku Cinta itu sempat memaklumkan bapa tercintanya sudah tiada sekitar pukul 3.00 pagi menerusi Instagramnya.

“Minta maaf tak sempat jawab mesej sahabat semua. Saya serta keluarga amat hargai dan berterima kasih atas doa kalian buat arwah ayahanda,” katanya ringkas.

Aizat turut berkongsi dua keping gambar kenangan bersama arwah tersayang sewaktu tamat mengikuti kursus kepolisan dan baju kurta yang dibeli oleh pelakon itu.

“Kerjalah, kerja yang lebih baik untuk adik. Saya buat seperti mana yang abah pinta. Saya rindukan abah. Belikan untuk pakai raya dan masa adik nikah nanti. Tiga tahun tak raya sama, abah tak suka baju melayu, baju kurta saja dia lebih selesa. Sempat tengok abah sarung masa itu saja. Allah lebih sayangkan abah, abah boleh rehat dah,” coretnya.

Terdahulu difahamkan oleh sumber terdekat, bapa Aizat menghembuskan nafas terakhir selepas 11 hari terlantar di hospital dan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Lumpur hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN