KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara terkenal, Harith Iskander Musa, 54, melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Kementerian Kesihatan yang membenarkan mana-mana penerima suntikan vaksin ‘picagari kosong’ untuk menerima suntikan dos baru.
Menurutnya, bagaimana seseorang rakyat boleh memberikan bukti dirinya tidak menerima suntikan vaksin sedangkan di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) meletakkan syarat tiada sebarang rakaman dibenarkan.
“Macam mana kita nak tunjuk bukti picagari itu kosong dan macam mana pula kita nak buktikan yang kita telah menerima suntikan vaksin ‘picagari kosong’? Di semua pintu di PPV tertera peraturan tidak boleh merakam.
“Boleh buat pemeriksaan antibodi sendiri untuk mengesannya? Oh jadi tanggungjawab kita sebagai penerima pulakah yang perlu membuktikan yang pihak anda tidak memberikan vaksin sebagaimana yang sepatutnya anda berikan?”katanya dalam segmen Sixty Second Response yang dikendalikan dalam akaun Instagramnya malam tadi.
Harith berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba yang membenarkan mana-mana individu menerima dos baru sekiranya mereka membuktikan menerima suntikan vaksin picagari kosong sebelum ini.
Selain itu, menurut Harith, perkara tersebut memberi kebimbangan kepadanya sebagai rakyat kerana tiada cara terbaik untuk membuktikannya.
“Perkara ini bukannya semudah seperti kita pergi ke bengkel kereta untuk menukar minyak enjin misalnya. Jika kita tidak dibenarkan merakam, bagaimana kita nak tahu?
“Tetapi ada yang lebih buruk. Dalam jutaan vaksinasi yang telah diberikan kepada ramai orang, insiden-insiden seperti inilah yang mengecewakan jutaan rakyat Malaysia lain yang ternyata benar-benar mahu menjayakan program vaksinasi ini dengan baik,”katanya.
Sebelum ini, timbul banyak aduan mengenai beberapa kejadian suntikan vaksin COVID-19 di PPV yang menjadi tular di laman media sosial kerana didakwa membabitkan picagari kosong.
Antara kes dilaporkan termasuk kejadian pada Sabtu lalu di PPV pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, di mana PPV itu dikhaskan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka sahaja.
Selain itu, aduan kes juga berlaku di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dan di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC) selain menyaksikan pengadu sudah membuat laporan polis.