KUALA LUMPUR: Pengacara, Aidid Marcello tampil meluahkan kekecewaan terhadap nasib seorang remaja orang kurang upaya (OKU) yang tular selepas dipercayai didera tanpa belas kasihan baru-baru ini.
Aidid menerusi entri di Instagramnya mengakui sedih dengan malang yang menimpa Bella 13 dan mempersoalkan tahap kewarasan individu yang didakwa bertindak kejam terhadap remaja berkenaan.
“Tak sanggup aku tengok Bella. Aku tengok pun sedih sangat. Manusia jenis apa boleh ikat dia macam itu, MasyaAllah. Tapi Allah itu maha kuasa, hang tengok Bella tu langsung tak ada kerut, rasa sakit ka apa, kalau kita, tak tahulah nak cakap kan?,” tulisnya.
Dalam entri yang sama, Aidid turut mengajak orang ramai agar bersama-sama menunjukkan solidariti dengan menyebarkan poster dan tanda pagar khas untuk remaja tersebut.
“Kamu tergamak buat dekat anak syurga macam ini. Jom kita pakat-pakat kongsi poster ini dan sebarkan hashtag #justiceforbella. Biar hukuman dikenakan setimpal kepada yang bertanggungjawab,” tulisnya.
Bella yang menghidap Sindrom Down baru-baru ini dipercayai dideera sehingga melecur teruk pada bahagian dada, tangan, leher dan mempunyai kesan luka di bahagian pahanya.
Remaja malang itu dipercayai didera di sebuah pusat asuhan berlokasi di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.