KUALA LUMPUR : Tindakan tegas Siti Sarah Raisuddin, 37, ternyata membuahkan hasil apabila wanita yang didakwa melakukan penipuan terhadap pelanggan LOVETAHQ akhirnya membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam yang diberikan.
Menurut Siti Sarah, syarikatnya, Ratasya Empire Sdn Bhd telah berhubung dan mengadakan perbincangan dengan wanita berusia 30-an tersebut selain menerima permohonan maaf daripadanya.
“Pihak syarikat telah pun mengadakan perbincangan dan menerima permohonan maaf dari wanita tersebut.
“Kesemua pelanggan yang terlibat juga telah menerima tempahan masing-masing daripada si pelaku dan juga syarikat mengikut tempahan masing-masing. Selain itu, segala kos produk juga telah dilunaskan dalam masa 48 jam sebagaimana yang telah diminta,”katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Siti Sarah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai susulan dakwaannya terhadap seorang wanita yang dikatakan telah melakukan penipuan ke atas beberapa pelanggan LOVETAHQ yang tidak menerima sebarang produk setelah pembayaran dibuat kepadanya sebelum ini.
Wanita tersebut dikesan menipu dengan memperkenalkan diri sebagai ejen ‘dropship’ sejak dua bulan lalu dan meminta pelanggan membuat pra-bayaran kepadanya dalam proses pembelian produk tudung dan gaun jenama tersebut.
Selain itu, Siti Sarah juga mengharapkan agar apa yang berlaku ini menjadi pengajaran bersama terutama bagi kesemua ejen-ejen dan bakal ejen yang bersama-sama memasarkan produk jenama LOVETA atau sebarang produk di bawah kendalian Ratasya Empire Sdn Bhd.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak saya juga tidak lagi menerima sebarang bentuk kerjasama atau menerima sebarang permohonan dari wanita tersebut untuk terus menjadi ejen ‘dropship’ atau ejen sah yang lain bagi memasarkan sebarang produk atau menggunakan jenama LOVETA serta Ratasya Empire Sdn Bhd di masa hadapan,”katanya.
Terdahulu, Khamis lalu, Siti Sarah telah mengadakan satu sidang media secara virtual bagi menjelaskan mengenai penipuan seorang wanita yang mengaku sebagai ejen ‘dropship’ jenamanya.
Di dalam sidang media tersebut, penyanyi ini mendedahkan, pihaknya telah menerima beberapa aduan daripada pelanggan yang tidak menerima tempahan produk mereka sebagaimana yang dijanjikan menerusi wanita tersebut.
Siti Sarah juga mengaku syarikatnya tidak menerima sebarang senarai tempahan daripada wanita tersebut selain menafikan perlu membuat pembayaran pra tempahan terhadap produk-produk jualan jenamanya.
Justeru satu laporan polis telah dilakukan selain menuntut permohonan maaf dan jalan penyelesaian daripada wanita terbabit dalam tempoh 48 jam bagi meleraikan kemelut yang berlaku.