SAYA sudah habis ayat pembuka untuk memperihalkan kesan pandemik kepada kita semua. Berulang kali sudah saya menulis baik dalam Rondivu atau ruangan lain.
Bahananya tidak sudah-sudah. Lebih setahun hidup kita dihirup Covid-19. Ada masa kita disuap harapan bahawa sengsara ini akan berakhir namun semuanya dikumuh menjadi tinja. Harapan menjadi muntah yang diluah selepas gagal dihadam tubuh.
Namun, tidak sekali boleh kita benarkan pandemik ini membunuh habis jiwa kita. Kita mesti terus hidup. Kita semua mesti terus hidup.
Rockin Jamz Hall
Sebuah ruang acara di selatan tanah air sedang bertarung nyawa. The Rockin Jamz Hall terkesan teruk akibat pandemik.
Selama lebih 20 tahun berdiri, The Rockin telah menjadi tuan rumah buat lebih 300 keraian muzik. Dari otai thrash metal, Tandus; adiwira muzik Nusantara, Monoloque sehingga peneraju indie generasi kini, Iqbal M; semuanya pernah menyebar dakwah dan dakyah di ruang itu.
Segala sekatan yang diperkenalkan kerajaan menyebabkan persembahan langsung secara fizikal terkekang. Sumber kewangan The Rockin terjejas.
Anda tidak boleh salahkan The Rockin kerana mereka telah bertahan lebih setahun. Untuk terus bertahan mereka memerlukan sokongan. Mereka perlu solidariti.
Nadi Johor
“The Rockin adalah langkah pertama untuk para pemuzik pergi lebih jauh, bermain di pentas yang lebih besar seperti Rock The World (RTW), Soundscape dan JB Art Festival.
“Live house seperti ini ialah asas dan platform untuk generasi akan datang. Mereka bantu anak muda mempamerkan bakat dan muzik mereka,” kongsi Naz dari Plague of Happiness (POH).
Untuk komuniti independen Johor, nama POH tidak asing lagi. Mereka telah berdiri selama 22 tahun. Sebagai ahli kugiran yang sebegitu lama berkubang dalam lapangan, Naz tahu betapa pentingnya untuk The Rockin terus hidup.
“Di Johor ada tiga live house sahaja, iaitu Embrace Hall di Tampoi dan The Wall di Batu Pahat. Kesemua live house ini digerakkan secara sukarela dan ditampung oleh acara-acara komuniti.
“Sudah lebih satu tahun The Rockin dibiayai oleh ahli komuniti sekitar Pasir Gudang. Ada juga sumbangan daripada luar negeri dan luar negara.
“Apabila pandemik berlanjutan, 90 peratus daripada ahli komuniti ada yang hilang pekerjaan dan gaji bulanannya dipotong. Jadi, tabungan untuk memastikan The Rockin terus bertahan berkurangan dan mereka sentiasa lewat bayar sewa serta utiliti,” kongsi Naz yang menggerakkan kutipan dana untuk The Rockin secara dalam talian.
Setakat ini kutipan dana melalui airfunding.com baru mencecah kira-kira RM1,000, dari lebih RM6,000 yang mereka perlu.
Simbol Rock N’ Roll
Antara kugiran besar yang pernah membuat persembahan di The Rockin ialah Monoloque. Persembahan mereka berlangsung pada Disember 2019 di bawah panji jelajah Tuhan Selamatkan Rock N’ Roll.
Berkongsi pengalamannya, Loque dapat rasakan suasana nostalgia rock n’ roll yang pekat di The Rockin.
“Ruang penuh sampai ke belakang walaupun rasanya pendingin hawa ada masalah waktu itu. Ganas, liar dan itulah suasana sebenar rock n’ roll.
“Sayang kalau tempat macam ini ditutup sebab ia bahan sejarah. Ia merupakan satu simbol untuk rock n’ roll,” kata Loque.
Loque sendiri mengakui, setiap komuniti dalam lokaliti berbeza perlu dipelihara ekosistemnya. Ruang acara ialah komponen penting dalam ekosistem itu.
“Ruang acara sebeginilah tempat penyebaran muzik alternatif. Walaupun tempatnya kecil kalau ditutup penyebaran muzik itu akan malap dan kelam,” katanya.
Bendera putih
Bendera putih bukan tanda mengalah tetapi isyarat mengumpul kekuatan. Jangan percaya kata ahli politik yang entah apa-apa. Tonton filem Shaolin Soccer, itu makna bendera putih sebenar.
The Rockin memerlukan solidariti anda. Lawat media sosial mereka untuk mengetahui cara menyumbang.
Pengurus The Rockin, Azizi atau Bob mengharapkan sokongan daripada semua supaya ruang acara itu boleh terus menghidupkan lapangan muzik tempatan.
“Saya berharap pandemik ini cepat berakhir. Segala prosedur operasi standard (SOP) telah kami patuhi, harap semua juga berbuat yang sama supaya kita boleh kembali berkarya tanpa batasan.
“Demi mengekang wabak Covid-19, kami tidak dapat beroperasi namun segala sewa dan utiliti harus dibayar. Ia memberi kesan kepada kami dan anak-anak muda kerana tiada ruang untuk berkarya; tiada tempat latihan,” kongsinya.
Semoga kita mampu bersolidariti dan bersama berjabat tangan membina The Rockin yang hampir runtuh.
Alasannya tidak perlu besar, cukup untuk menyambut seruan Abang Bob: “Sokonglah industri muzik dari anak-anak tempatan”.