KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), menggesa agar industri kreatif dibenarkan beroperasi bermula Julai ini demi kelangsungan hidup warga kerja industri itu yang amat terkesan dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurut Setiausaha Seniman, Hafiz Nafiah, hal itu kerana 90 peratus daripada mereka bekerja berdasarkan projek.
“Jika dilihat semula Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini, industri kreatif akan kembali beroperasi pada fasa ketiga nanti setelah kes jangkitan Covid-19 berkurangan bawah nilai ambang 500 kes sehari. Jangkaannya sekita Oktober nanti.
“Untuk pengetahuan pihak kerajaan, Industri kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya kami tidak dibenarkan beroperasi dalam Julai ini. Segala peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan dalam pakej-pakej sebelum ini tidak bermakna sekiranya kami masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Seniman percaya industri kreatif juga adalah sektor penting yang turut menyumbang kepada pembangunan negara.
“Seperti mana yang umum ketahui, sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 dan mereka masih dibenarkan untuk terus beroperasi.
“Jika sektor ini dibenarkan beroperasi mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi, sedangkan kami sedia mematuhi segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa sebarang masalah.
“Setakat hari ini, industri kreatif tidak pernah mencetuskan kluster-kluster yang melibatkan penggambaran. Ini menunjukkan penggiat seni sentiasa patuh kepada SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Terdahulu, Seniman menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang memperuntukkan RM100 Juta untuk industri seni dan kreatif negara.