KUALA LUMPUR: Penyanyi tampan, Daniesh Suffian, 22, mendedahkan sebelum ini pernah menerima mesej bukan-bukan daripada individu tidak dikenali di media sosial.
Kata anak kelahiran Tawau, Sabah ini, paling merisaukan apabila gangguan-gangguan tersebut datang daripada remaja lelaki dan perempuan yang tanpa segan silu, meminta penyanyi ini memberikan gambarnya tidak berbaju.
“Saya gelakkan sahaja, tidak mahu melayan permintaan yang bukan-bukan. Sebenarnya, mesej-mesej sebegini tidak mengganggu. Jika berlaku lagi, saya abaikan sahaja,” katanya.
Namun, penyanyi lagu Mahligai ini bersyukur apabila lebih banyak perkara positif berbanding negatif yang dihadapinya di media sosial.
“Ramai yang suka dengan kandungan Instagram saya. Itu cukup menggembirakan,” kata bekas atlet kebangsaan Sabah ini.
Dalam pada itu, disoal tentang lagu Mahligai, Daniesh ternyata gembira dengan maklum balas positif terhadap lagu berkenaan yang kini sudah menerima lebih 200, 000 tontonan di Youtube.
“Sasaran saya untuk lagu ini hampir tercapai. Saya bersyukur apabila jumlah tontonannya meningkat dalam tempoh yang cukup singkat.
“Saya berharap jumlah tersebut akan terus bertambah, mungkin sehingga 1 juta tontonan, InshaAllah,” ujarnya gembira.