Saya belajar, bukan nak jadi scammer - Utusan Malaysia

Saya belajar, bukan nak jadi scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA sahaja perkara yang melibatkan pelakon dan ahli perniagaan, Boy Iman, entah mengapa di akhirnya pasti akan dinilai sebagai kontroversi murahan.

Hal ini bukan baru. Malah sejak dari zaman dia berjinak-jinak dalam dunia perniagaan khususnya dalam bidang pembinaan, Boy Iman pernah sahaja menerima kecaman dan kutukan hebat kerana dituduh sebagai scammer atau penipu.

Kontroversi juga diselang-selikan dengan kisah lain dan yang paling diingati adalah bagaimana dia menggemparkan negara menerusi pengakuannya memiliki Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) selain gelaran Datuk yang didakwa telah dibeli.

Boy juga kembali menimbulkan kehairanan orang ramai apabila baru-baru ini berkongsi dalam Instagram bahawa dirinya kini sedang mendalami bidang profesional pembinaan di peringkat Diploma.

PhD, Ijazah Sarjana dan kemudian Diploma? Pancaindera mendapatkan jawapan daripada Boy sendiri.

Khabarnya Boy sekarang sedang sambung pengajian, betulkah?
Memang saya sedang sambung pengajian sekarang. Iyalah, tak tahu hendak buat apa selain bekerja dari rumah. Macam-macam kursus juga yang saya sertai termasuk motivasi, kontraktor dan terbaharu dalam bidang pembinaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM SPACE). Semua pembelajaran sekarang secara atas talian dan saya baru sahaja ambil kursus itu awal Jun lalu. Selepas setahun sertai kursus ini saya akan sambung pula ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama selama setahun enam bulan lagi.

Ramai pelik dengan struktur atau peringkat pendidikan yang diraih Boy yang dikatakan semakin mengundur ke belakang atau ‘U turn’. Boy boleh komen mengenai hal ini?
Hidup kita ini sampai bila-bila pun kena belajar. Sudah tentu ilmu dan pengalaman ini adalah antara dua benda penting untuk capai kejayaan. Pendek kata selagi kita belum mati, selagi itulah kita boleh dan kena belajar. Jadi apa nak hairannya? Bila saya tengok ada kursus secara atas talian, apa salahnya saya cuba. Lagipun kursus itu yang saya minati. Tak perlu rentas daerah atau negeri pun boleh belajar, sekarang mudah.

Tapi kenapa kursus pembinaan? Boy macam tak serik dengan apa yang berlaku sebelum ini, itu kata oranglah..
Saya ada empat syarikat pembinaan dan Alhamdulilah semua okey, berjaya. Tapi bila pandemik ini, mana boleh beroperasi sebab kita bukan sektor keperluan. Sejak berlaku musibah yang dulu itu, cita-cita dan karier bidang ini agak terbantut buat saya. Tapi itu tidak membuatkan saya putus asa untuk terus belajar sebab, selama ini pun secara praktikalnya memang saya sedang buat. Jadi, saya mula belajar semula dari asas, ambil masa untuk jana semula semangat beserta ilmu. Saya bukannya nak jadi scammer.

Bila ada yang pertikaikan semangat Boy untuk belajar ini, apa pula komen Boy?
Sebenarnya banyak sahaja institusi pendidikan baik swasta atau awam yang menawarkan program kursus jangka pendek secara atas talian, sama ada awak nak buat atau tak nak saja. Bagus apa. Saya cuma rebut peluang yang terbentang. Bukan saya tak tahu ramai yang perli, sindir-sindir. Tapi ramai juga yang beri semangat. Orang Melayu kita ini tidak semua yang nak menyokong walaupun perkara yang kita buat itu bermanfaat dan baik. Sebelum ini pun ada juga saya sertai kursus pengarahan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), lulus dan sekarang sudah ada lesen pengarah drama dan filem.

Ada sangsi dengan bidang pengajian yang Boy ambil sebab berbeza-beza sehingga menimbulkan tuduhan bahawa ini antara percubaan Boy untuk menipu semua orang lagi. Komen?
Tak kisahlah kalau ada Ijazah Sarjana, PhD dalam bidang lain. Saya nak tanya, adakah salah untuk seseorang itu nak sambung pengajian yang berbeza? Inilah salah faham yang harus diperbetulkan. Macam saya katakan tadi, banyak sahaja kursus jangka pendek ditawarkan dan dibenarkan mengikuti. Saya tak buat benda salah. Saya ikut segala prosedur yang ditetapan pihak universiti, mohon dengan saluran betul dan bayar yuran. Bukannya saya beli. Itulah bezanya selebriti dengan orang lain. Walaupun kita ikut saluran betul, atau buat perkara baik sekali pun, orang tetap akan nampak salah. Yang baik pun orang kata buruk.

Bunyi macam Boy sudah malas nak layan tohmahan netizen. Agaknya kenapa?
Penatlah nak layan semua pandangan negatif dan perli-perlian ini. Niat saya untuk belajar dan guna saluran yang betul. Tujuan saya kongsikan dalam media sosial sebagai satu perkongsian sisi peribadi dan kalau ada orang lain yang terinspirasi, baguslah.Kalau nak kecam pun saya tak halang, suka hati merekalah. Sepatutnya kalau dengar usaha seseorang itu mahu belajar, kita sokonglah, bukan menjatuhkan semangatnya. Patut rasa malu dengan diri sendiri sebab sekurang-kurangnya dia ada usaha nak perbaiki dan naik taraf diri dengan ilmu berbanding sibuk cakap buruk pasal orang lain tapi diri sendiri dah tua pun bodoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya