KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Ain Sufia mengakui silap sendiri kerana terlepas pandang notifikasi tarikh temu janji untuk menerima suntikan vaksin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.
Menurut pelakon drama Menantu Ting Tong itu ketika dihubungi, menjelaskan, sebelum ini dia kerap memeriksa tarikh temu janji dalam aplikasi MySejahtera dan menganggap bukan rezekinya lagi untuk menerima suntikan.
“Saya baru periksa setiap hari tapi rasanya semalam tergerak hati mungkin tidak dapat lagi. Sekali cuba buka waktu petang, ada! Saya pun terus bergegas ke sana tapi dah terlambat sebab Axiata tutup pukul 5 petang dan saya sampai pukul 6 petang.
“Menurut petugas keselamatan RELA dia menyarankan saya untuk ambil gambar sudah sampai sebagai bukti dan cuba datang esok (hari ini). Tapi tetap tidak berjaya dan dimaklumkan untuk menunggu tarikh baharu.
“Mungkin saya ada terima notifikasi temu janji namun lebih banyak notifikasi fasal kerja saja (tertawa). Itulah selepas ini memang kena tetapkan notifikasilah,” jelasnya.
Terdahulu Ain berkongsi dia sepatutnya menerima suntikan vaksin untuk dos pertama pada pukul 11 pagi, Ahad.