PETALING JAYA: Platform penstriman video kandungan islamik, Nurflix, kini giat memperkasakan empayarnya agar tidak terhenti akibat pandemik Covid-19.
Dalam satu kenyataan, sejak dilancarkan Julai tahun lepas, Nurflix juga sedang dalam perbincangan dengan platform penstriman islamik seluruh dunia bagi membina gabungan kerjasama penyebaran kandungan media sopan serta bermanfaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix, Syah Mohamed memaklumkan, Nurflix telah melancarkan inisiatif pembinaan rangkaian media islamik antarabangsa ekoran sedar dengan kekangan melanjutkan produksi penggambaran serta pembangunan kandungan.
“Kami mahu mencapai objektif dalam usaha memberi manfaat kepada penggiat seni dan komuniti. Kita akan ada kandungan serta kolaborasi dari syarikat penerbitan luar seperti dari United Kingdom, Mesir, Qatar, Turki serta Indonesia.
“Melalui kolaborasi ini, dianggarkan akan ada lebih 1,000 kandungan media untuk ditonton menjelang akhir tahun ini. Dengan jalinan rangkaian ini, kita berharap kandungan dan program dari luar boleh ditonton di Nurflix serta kandungan dari Malaysia juga ditonton di luar sana. Sudah tiba masa untuk rangkaian ini diperkasakan,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu, kemasukan kandungan-kandungan luar ke dalam Nurflix akan memberi peluang pekerjaan pasca-produksi, terjemahan kandungan serta alih bahasa sekaligus dapat menggerakkan ekonomi terutama sektor penerbitan dan media.
Justeru itu, menerusi inisiatif berkenaan, khalayak dapat terus menikmati kandungan patuh syariah dalam dan luar negara yang disajikan kepada pengguna.
“Lebih istimewa, Nurflix juga mempunyai sasaran untuk menjadi platform pembelajaran, bukan semata-mata hiburan dengan menonton filem dan drama. Naik taraf Nurflix Goldfish 2.0 akan dilancarkan pada 10 Ogos 2021 dan memberi kelebihan kepada pengguna kerana lebih stabil dan pantas,”ujarnya.