INDONESIA: Penyanyi terkenal Rossa menjelaskan, dia belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga lagi memandangkan masih belum mempunyai calon.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Ayat-Ayat Cinta secara ini terbuka dan santai berkongsi luahan isi hatinya dalam kandungan YouTube milik Daniel Mananta, semalam.
“Bernikah lagi mungkin ya, tapi satu hari nanti. Kalau sekarang, tidak. Sejujurnya saya belum memikirkan hal itu lagi.
“Saya tak tahulah nak kata trauma atau takut kerana banyak perkara yang bermain di fikiran saya. Walaupun sudah 12 tahun hidup sebagai ibu tunggal, jujur saya belum ada calon,” ujarnya.
Tambah Rossa dia yakin jodoh yang terbaik akan hadir daripada pemberian Maha Pencinta dan sering memanjatkan doa tentang perkara itu.
“Berikan aku yang terbaik saja ya Allah, bila masanya, terserah,”kata penyanyi lagu Kau Yang Ku Tunggu itu.
Untuk rekod, Rossa atau Sri Rossa Roslaina Handiyani, 42, sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Surendro Prasetyo@Yoyo pada 2004.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang putera, Rizky Langit Ramadhan.
Walau bagaimanapun, setelah lima tahun perkahwinan mereka memutuskan untuk berpisah dan bercerai pada 14 Julai 2009.