KUALA LUMPUR: Nama pelawak dan pengacara kontroversi, Shuk Sahar, 35, sekali lagi mendapat perhatian netizen apabila wanita yang sebelum ini dikaitkan dengan kecurangan rumah tangga mereka dikatakan muncul semula.
Maklumat itu ditularkan oleh seorang pengguna di Twitter yang memuat naik tangkap layar perbualan dipercayai milik wanita bernama Fara Salleh dengan Shuk daripada isteri pelawak itu, Rossalennah Natassyiah Asshaferah.
Dalam hantaran itu, Fara dikatakan begitu berang apabila Shuk seperti tidak mengendahkan kiriman mesejnya malah mengugut untuk mengambil nyawa jika bekas penyampai radio itu tidak melayan.
Sementara itu, menerusi satu tangkap layar berlainan di Instagram milik Rossa, dia mendedahkan kesanggupan dan terbuka menerima seorang wanita sebagai madunya.
“Dah cakap kalau nak bermadu kena terima keluarga saya dan anak-anak. Bukan hancurkan keluarga saya. Tolong berubah, bukan ugut sana sini, saya dan anak-anak tiada salah.
“Daripada jadi benda tak baik nanti, salahkan saya pula buka aib. Kalau nak kahwin silakan. Suami saya bukan budak lagi. Rasanya dia orang pun dah berbincang tetapi itulah tak berubah juga. Apa salahnya terima saya dan anak-anak?,” coretnya di Instagram.
Bagaimanapun menerusi tinjauan Utusan Malaysia di akaun Rossa, entri berkenaan sudah dipadamkan. Namun dalam perkembangan terbaharu, Rossa berkongsi rakaman video dia menerima empat tali yang didakwa sebagai ‘santau’ awal pagi tadi.
“Untuk si pembuat yang buat macam ni, aku tak tuduh siapa-siapa. Semoga cepat bertaubat. Jangan buat syirik nak hantar santau sampai rumah bagai!,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut Rossa menuding jari dan memetik nama wanita tersebut.