KUALA LUMPUR: Pengarah, penerbit dan pelakon berkaliber, Erma Fatima, 53, tampil dengan drama, Lockdown berkisarkan realiti kehidupan rakyat yang sengsara akibat pandemik Covid-19.
Jelas Erma, dia berharap drama yang digarap berdasarkan pemerhatian dan perkongsian orang sekeliling ini mampu membuka mata pihak kerajaan serta masyarakat masyarakat serta kerajaan buka mata.
“Kalau masyarakat dan kerajaan tidak nampak juga, saya hilang kata-kata. Setiap hari kita mendengar khabar sedih ini menerusi akhbar dan kawan terdekat. Jadi ini bukan cerita fiksyen tetapi realiti.
“Sebenarnya ada banyak lagi yang kami tidak mampu nak lakukan disebabkan terhad lokasi yang boleh digunakan untuk penggambaran ketika itu. Belum lagi diceritakan kisah frontliner, penghantar e-hailing demi kelangsungan hidup, mereka yang hendak menghantar bantuan dan kerja sukarelawan.
“Mereka semua ini bila-bila masa saja boleh terkena dengan jangkitan wabak. Bagi saya seksa rakyat tidak sampai 10 peratus yang terpapar di skrin ini. Ada ramai yang dihalau keluar rumah sebab tidak boleh bayar sewa bulanan.
“Untuk naskhah sebegini saya tidak perlu bersusah payah nak buat kajian, orang terdekat kru produksi sendiri (penggiat seni) turut terkesan,” jelasnya.
Erma berkata demikian pada sidang media drama bersiri 10 episod berjudul Lockdown yang sudah ditayangkan di Astro Ria (104).
Drama itu dibarisi oleh Nabila Huda, Marisa Yasmin, Balkisyh Semundur, Kaka Azraff, Mimi Lana dan ramai lagi dalam menghidupkan lapan ragam karya masyarakat mengharungi pandemik.