PETALING JAYA: Pengacara dan penyampai radio terkenal, Muhammad Azmir Selamat, memaklumkan telah kembali ke udara di Hot FM setelah lima tahun meninggalkan stesen radio tersebut, hari ini.
Dia yang lebih dikenali sebagai AG, berkongsi khabar tersebut menerusi satu hantaran video di entri Instagramnya.
Di samping itu, AG yang sebelum ini merupakan penyampai radio di Kool FM telah mendapat panggilan daripada majikannya yang memaklumkan untuk dia bertugas di stesen Hot FM, pagi tadi.
“Ramai yang tertanya AG pergi mana kerana sudah lama tidak ke udara. Sebenarnya saya sedang bercuti lebih kurang dua minggu.
“Tetapi hari ini, boss membuat panggilan meminta saya datang bertugas disebabkan kecemasan. Tidak mengapa, perkara ini normal dan biasa.
“Namun, cuma hari ini saya ditugaskan di stesen Hot FM. Hari ini saya akan bertugas di Hot FM bukan Kool FM, lama dah saya tidak bertugas di stesen radio itu,” katanya di Instagram.
Tinjaun Utusan Malaysia mendapati, rata-rata warganet dan peminatnya berasa amat teruja setelah otai sudah kembali melontarkan suaranya ke udara di Hot FM.
Sebelum ini, Fizie dan Mark Adam, telah meninggalkan kerjayanya sebagai penyampai radio di stesen radio Hot FM, isnin lepas.