JAKARTA: Vokalis kumpulan Kotak, Tantri menarik nafas lega setelah kedua orang tuanya yang dijangkiti wabak Covid-19 kini disahkan dalam keadaan baik dan dibenarkan pulang untuk menjalani kuarantin di rumah.
Lapor portal Liputan6, Tantri atau nama sebenarnya Tantri Syalindri Ichlasari yang berkongsi perkembangan itu di Instagram berkata, kedua orang tuanya, Dally Syanabar dan Supriyati tidak memiliki gejala berat meskipun masih dijangkiti wabak berkenaan.
“Keadaan papa dan mama saya baik. Mereka disahkan bergejala ringan setelah menjalani pemeriksaan toraks, tekanan darah dan saturasi di dua hospital.
“Kami memutuskan untuk menjalani kuarantin di rumah agar kesihatan fizikal dan mental mereka tidak terjejas.
“Doktor akan memantau keadaan mereka menerusi panggilan video dan akan melakukan lawatan secara berkala,” tulisnya.
Isteri kepada vokalis kumpulan Naff, Arda, ini mengakui cemas apabila mengetahui ibu bapanya dijangkiti wabak berkenaan memandangkan kedua orang tuanya itu mempunyai masalah kesihatan yang serius.
Katanya ekoran terlalu risau, dia segera menghantar mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Papa dan mama sempat dirawat di unit kecemasan sebelum dibenarkan pulang keesokan harinya,” tulisnya lagi.