ANDAI sahaja kita sendiri meletakkan diri di tempat dan di mana kumpulan K-Qlique ini berdiri, barangkali sukar untuk menggambarkan betapa puasnya dapat mengukir senyuman penuh kebanggaan dalam melihat reputasi dan progres kerjaya di tahap sekarang.
Maklumlah, setiap orang pasti akan melalui zaman kepayahan dahulu, bertatih-tatih dahulu, sebelum kemudiannya berupaya menemui rentak sebenar dalam usaha untuk sampai ke destinasi bernama kejayaan.
Mewakili kumpulan, MK, atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, tentunya dia sedar, lumrah hidup, tidak semua kejayaan itu datang dengan mudah dan sebagai seorang anak seni, tentunya dia senang melihat apa yang telah K-Qlique kecapi.
“Perjalanan kami masih jauh. Tetapi tidak salah untuk saya katakan, andai bukan kerana penyanyi rap dan hip hop sebelum ini yang terlebih dahulu memperjuangkan seni dan muzik genre ini, tak mungkin K-Qlique juga mampu mencapai impian itu.
“Bayangkan, sejak zaman persekolahan kami sudah lihat dan idolakan mereka, pendek kata memang sudah tanam azam mahu jadi macam ikon-ikon rap terkenal dalam negara seperti Joe Flizzow, Malique dan ramai lagi.
“Mereka semualah yang memberikan inspirasi buat saya dan anggota kumpulan K-Qlique yang lain,”katanya.
Atas sebab yang sama, MK juga melahirkan rasa teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan senior seperti DJ Cza yang dianggapnya sebagai antara ikon hebat dalam penghasilan muzik rap tanah air.
Namun dalam keterujaan, kata MK, timbul juga rasa gementar memandangkan DJ Cza juga bukan calang-calang orang dalam industri.
“Saya, Tuju dan Loca diberi peluang untuk bekerjasama dengan DJ Cza untuk lagu berjudul Veto yang baru sahaja dilancarkan awal bulan lalu.
“Kalau ditanya soal gementar, jangan cakaplah. Memang itulah yang kami rasa. Kami pertama kali bertemu dengan DJ Cza semasa menyertai 16 Baris.
“Jadi bila dapat sama-sama berkolaborasi untuk sebuah lagu yang hebat ini, kami pun tak tergambar dek kata-kata. Satu sahaja yang saya mampu katakan, sekecil mana pun diri kita, tak salah untuk bermimpi,”katanya.
Bukan satu beban
Membawa MK bercerita mengenai muzik dan perjuangan K-Qlique, kata anak kelahiran Tawau, Sabah ini dia seringkali ditanya mengenai pertembungan konflik terutama dalam bab penghasilan sesebuah karya muzik.
Maklum sahajalah, ramai yang menanam hasrat untuk bekerjasama dengan kumpulan ini sejak K-Qlique mencipta populariti dan fenomenanya yang tersendiri dalam industri.
Sehinggakan, ada yang berpendapat, kalau bertuah dapat berkolaborasi dengan mereka, sesebuah karya itu pasti akan meledak hits dan terjual pada nilai komersial.
“Bagi saya, tak kiralah, nak bekerjasama secara berkumpulan atau solo, K-Qlique tidak pernah menolak andai naskhah itu memiliki keistimewaan dan kualiti tersendiri.
“Ada yang tanya, ada bezakah kalau buat lagu untuk solo atau berkumpulan? Saya rasa sama sahaja sebab ia masih tentang pembikinan muzik.
“Ia bukan satu cabaran atau halangan kerana kami rasa bagus sebab ia bermaksud kita memiliki persamaan untuk terus menghasilkan muzik yang bermutu untuk pendengar dan peminat,”katanya.
Tambah MK, perasaan tidak mudah mengalah dan mahu terus mencuba juga barangkali merupakan satu daripada kunci kejayaan K-Qlique dalam mengatur perjalanan seni mereka sehingga sekarang.
“Muzik adalah apa yang kami minat dan setiap kalinya memang kami akan berikan 100 peratus energi untuk disalurkan. Semuanya demi memastikan karya yang dihasilkan itu nanti ada jiwa dan mencapai jangkaan pendengar.
“Mungkin akan ada yang kata ia seakan satu beban sebab sentiasa nak pastikan yang terbaik. Tapi saya percaya, jika sesuatu perkara itu dibuat dengan minat yang mendalam, secara tidak langsung kita akan buat dengan sepenuh hati,”katanya.
Memuji langkah berani MK yang kini mula membuka ruang dan peluang buat pemain industri drama dan filem mengintai dirinya sebagai pelakon, MK sempat tersenyum.
“Biasalah, kalau masih baru orang akan cakap lakonan saya kayu lagi. Tak kecil hati pun,” katanya.