KUALA LUMPUR: Pelakon, Amar Baharin tampil menawarkan dirinya kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, untuk menjadi penerima pertama suntikan vaksin ketiga Sinovac.
Suami kepada aktres Amyra Rosli menjelaskan hasratnya di Instagram yang turut berkongsi artikel tentang kajian kelebihan suntikan vaksin ketiga.
“Selepas enam ke lapan bulan daripasa dos kedua, izinkan saya menjadi penerima pertama untuk mencuba suntikan dos penggalak (booster) ini ya KJ. Dengan izin Allah kalau diberi kesihatan yang baik,” katanya.
Hasil perkongsian bapa kepada sepasang cahaya mata itu, dia dihujani dengan pelbagai komen pertanyaan selain dibanjiri respons positif.
Pada masa sama pelakon berusia 36 tahun itu menerima pertanyaan “Kita ini jadi bahan uji kaji ke? Pelik betul,” komen pengguna di IG.
Jelas Amar susulan pertanyaan itu dan soalan berkaitan lain, dia perlu mendapatkan suntikan vaksin ketiga tersebut kerana dia mempunyai anak-anak kecil yang dikhuatiri kebarangkalian jika terdedah pada wabak itu.
“Anak-anak saya masih belum ada vaksin yang sesuai. Jadi saya tidak mahu jadi penyebab atau pembawa virus pada keluarga. Insya-Allah saya usaha yang terbaik.
“Di Malaysia tidak pasti lagi jika hanya penerima Sinovac saja perlu suntikan dos ketiga. Belum ada pengesahan, saya baca global info sebab sudah ambil Sinovac. Jangan salah faham rakyat Malaysia, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan,” jelasnya.
Pertengahan Jun lalu, Khairy berkata, kerajaan sedang mengkaji keberkesanan vaksin terhadap kes Covid-19 yang melibatkan varian Delta dan keperluan untuk suntikan ketiga vaksin.