USIA penyanyi ini terlalu muda. Jalan yang dipilih kelihatan masih jauh. Namun, Damia, 15, menyimpan hasrat menggunung. Impian menjadi sohor itu didakapnya cukup erat.
Empunya nama sebenar Fathin Nur Insyierah Damia Mohamad Khalil ini bermula cemerlang. Lagu sulungnya, Pasrah kini ditonton lebih 12 juta kali di YouTube. Baginya, pencapaian itu sudah mampu membuatnya tersenyum gembira.
“Saya gembira. Orang suka sampai 12 juta tontonan dan trending tiga kali di YouTube. Lepas ini harapnya boleh masuk mainstream pula. Tetapi terpaksa tangguh dahulu, keadaan sekarang tidak berapa membenarkan,” katanya.
Sayangnya, lagu seindah itu masih kedengaran sepi dicorong radio. Bagi penyanyi ini, mungkin belum sampai waktunya lagi.
“Masih mencari jalan untuk ke arus perdana. Perancangan untuk lagu ini saya serah sahaja kepada syarikat rakaman,” ujarnya.
SERIK DIGODAM LAGI
Pengalaman digodam tidak lama dahulu terlalu pahit untuk ditelan penyanyi berbakat ini. Mana tidaknya, akaun Instagram (IG) dengan 147,000 pengikut lesap sekelip mata dek kelicikan penggodam luar negara. Bagi Damia, pengalaman itu telah mengajarkan erti berjaga-jaga.
“Bayangkan, semua berlaku sekelip mata. Hanya dengan satu pautan yang dihantar menerusi e-mel, akaun Instagram lesap begitu sahaja. Agak lelah mengumpul followers yang ramai. Tetapi tidak mengapa, saya anggap tiada rezeki di situ,” katanya yang kini aktif di Instagram damiaofficial5.
TIDAK ABAI PELAJARAN
Meskipun giat mengukir nama di pentas nyanyian, penyanyi bersuara gemersik ini tidak pernah mengabaikan pelajaran. Katanya, pelajaran itu tetap diutamakan walaupun dengan keadaan sekarang ini yang sedikit berbeza.
“Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ini ada cabaran tersendiri. Nak faham seratus peratus itu sedikit sukar berbanding kaedah pembelajaran biasa.
“Ditambah pula kekangan lain seperti sambungan internet dan sebagainya. Sebab tu, pentingnya saya rujuk semula rakaman diberi guru untuk ulangkaji,” jelasnya.