Hang Tuah simbolisme gagahnya Malaysia - Loque - Utusan Malaysia

Hang Tuah simbolisme gagahnya Malaysia – Loque

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer, Loque, 44, menganggap tiada salahnya jika rakyat menjadikan Hang Tuah sebagai inspirasi apalagi figura legenda tersebut memberi interpretasi atau lambang kegagahan buat negara di mata dunia.

Menurut Loque, atau nama sebenarnya, Khairil Ridzwan Anuar, dia sedar ada pihak yang mempertikaikan Hang Tuah sebagai inspirasi para atlet sukan Olimpik pada kali ini namun mengaku tidak nampak di mana relevannya pertikaian tersebut.

“Rasanya tidak perlu pertikaikan. Patut boleh lagi dibanggakan kerana berinspirasikan Hang Tuah sebagai satu simbolisme gagahnya Malaysia pada suatu ketika dahulu dan boleh diserap, direlevankan ke dunia moden.

“Konsep atau falsafah Olimpik pun memang ‘glorify’. Jadi, okey apa empayar Melaka, empayar Nusa yang hebat suatu ketika dahulu. Kalau tidak, tak akan dipanggil empayar,”katanya.

Loque berkata demikian di ruangan komen Instagram The Patriots Asia yang membentangkan isu pertikaian dalam mengangkat Hang Tuah sebagai inspirasi para atlet yang mewakili Malaysia sempena Sukan Olimpik kali ini.

Terdahulu, terdapat ciapan daripada seorang pengguna di Twitter yang menganggap sifat Hang Tuah tidak mewakili bangsa Melayu selain didakwa beridealogi feudalisme yang seterusnya membawa kepada perdebatan di media sosial.

Menerusi rangkaian komen yang diluahkan oleh Loque, dia juga memulangkan pertanyaan adakah pengguna Twitter sebenarnya lebih bersetuju dengan prinsip Hang Jebat berbanding Hang Tuah yang dikatakan tidak mampu mewakili seluruh Malaysia.

“Kalau pasal prinsip falsafah Hang Tuah bercanggah dengan prinsip Hang Jebat, maka saya tidak mahu ulas lanjut.

“Tapi kalau pasal Hang Tuah tak dapat diinspirasikan mewakili Malaysia, yang itu saya akan teruskan pendirian. Hang Tuah bagi saya ialah cerita rakyat, legenda, simbol Malaysia. Macam bahasa kebangsaan, Bahasa Malaysia.

“Semua orang atau kaum terutamanya Melayu patut bangga cakap bahasa Malaysia. Mana boleh mengaku rakyat Malaysia tapi tak boleh cakap bahasa ibunda?”katanya.

Bagaimanapun, kata Loque, dia tidak bersetuju untuk memukul rata bahawa semua pengguna Twitter bersikap liberal.

“Tak perlu humban mereka, buang tenaga. Esok lusa akan tumbuh balik. Kita patut sekolahkan atau bagi kenyataan atau menulis secara berilmiah, baru yang sang liberal lain-lain pun akan nampak.

“Empayar Melaka bukan dibina dalam masa satu hari,”katanya.

Beberapa hari lalu, busana yang dipakai oleh barisan atlet Malaysia semasa acara pembukaan Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun menjadi bahan bualan ramai dengan pelbagai persepsi.

Di sebalik kata pujian, ada juga yang beranggapan rekaan busana tersebut tidak benar-benar menyerlah walaupun mengambil inspirasi Hang Tuah.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian chef selebriti terkenal tanah air, Chef Wan yang menyifatkan busana itu tampak murahan selain diumpamakan seperti pakaian badut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya