KUALA LUMPUR : Pelakon Hanez Suraya, 35, mendedahkan dirinya diserang kebimbangan melampau atau anxiety selepas mendapat perkhabaran ramai kalangan ahli keluarga terdekatnya disahkan positif Covid-19.
Menurut Hanez, sejak dua hari lepas, dia menerima perkhabaran mengenai perkara tersebut sekali gus menyebabkan dirinya benar-benar runsing.
“Sebelum ini, kita selalu dengar orang lai terkena jangkitan ini. Tapi bila ia benar-benar terjadi dalam lingkungan keluarga terdekat, saya jadi panik dan risau.
“Ada ahli keluarga yang menangis-nangis kerana takut, sampaikan saya sendiri nak tenangkan mereka pun tak tahu apa cara. Tetapi perasaan itu amat saya fahami kerana masa mula-mula negara dilanda Covid-19, saya pernah melakukan ujian calitan kerana disyaki terkena jangkitan.
“Tapi mujurlah tiada apa-apa. Itu pun saya sudah rasa mengerikan. Bayangkan bila dapat tahu pula ramai ahli keluarga yang positif Covid-19, semua ini begitu membimbangkan,”katanya.
Hanez berkata demikian menerusi satu perkongsian santai di Instagram Live bersama pengikutnya, semalam.
Selain itu, kata Hanez, dek bimbang berlaku perkara buruk terhadap keluarga, dia sempat melarang suaminya, Romie Razin Adilha Mohd Rais yang terpaksa keluar ke pejabat untuk urusan pekerjaan.
“Suami saya kena keluar bekerja, saya sempat memarahinya semalam supaya tak perlu ke pejabat dalam keadaan sekarang yang membimbangkan.
“Memang saya takut sangat sebab kami ada anak-anak kecil. Kita tak tahu, kalau seorang terkena, habis seisi rumah pun terkena jangkitan. Tak nak perkara macam itu berlaku sebab itulah kalau boleh saya nak jaga bab ini,”katanya.
Selain itu, menerusi perkongsian tersebut, Hanez turut menggesa setiap individu dan rakyat negara ini untuk sama-sama bekerjasama memutuskan rantaian Covid-19 dengan tidak mengabaikan pengambilan suntikan vaksin sebagaimana yang disarankan kerajaan.
Bagi Hanez, pengambilan vaksin perlu diterapkan sebagai satu tanggungjawab setiap individu dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19 dan menjaga komuniti sekeliling.
“Vaksin bukan satu jaminan tidak dijangkiti Covid-19 tapi mampu menguatkan imuniti tubuh sekiranya terkena jangkitan tersebut. Bagi mereka yang dapat tarikh untuk vaksin, jangan tak pergi pula sebab ramai lagi yang nak tapi masih menunggu giliran mereka, contohnya saya.
“Satu lagi, ada juga yang jenis nak pilih-pilih vaksin, kononnya ada antara negara tak iktiraf vaksin tertentu. Tolonglah, tak payah cerita pasal boleh atau tidak terbang ke mana-mana negara sebab sekarang ini pun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini pun tak tahu habis bila.
“Boleh ke tidak merentas negeri, bercuti dalam negara pun kita tak tahu lagi. Jadi tak payah cakap pasal terbang ke negara luar. Langkah terbaik pada masa ini adalah sama-sama jalankan tanggungjawab pergi ambil suntikan vaksin. Lepas itu baru boleh cerita pasal bercuti.
“Jangan jadi individu yang pentingkan diri. Kasihanilah para petugas barisan hadapan kita. Jangan kita bebankan lagi dengan sikap yang tidak wajar seperti itu. Ini juga demi kebaikan kita semua,”katanya.