KUALA LUMPUR : Selepas lama berdiam diri, pendakwah bebas dan dermawan terkenal, Ebit Lew, mengumumkan bakal memberi penjelasan mengenai pelbagai tuduhan yang berlaku ke atasnya menerusi satu sesi live di Instagram pada pukul 12 tengah hari, esok.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Instagramnya tadi, Ebit memaklumkan akan menjawab semua fitnah yang disifatkannya sebagai melampau dan tidak berasas terhadapnya.
“Saya bersyukur pada Allah kerana dia Maha Baik dan Maha besar. Saya cuma orang biasa dan pendosa. Syukur direzekikan dapat menjadi sebahagian kecil usaha kasih sayang ini.
“Saya diajar untuk tidak menjawab dan bergaduh dari kecil. Tapi semenjak di Mesir, fitnah dan kata sinis terus menimpa saya. Dari dulu lagi saya dah biasa kena fitnah dan dikata begini. Saya bersyukur kerana apalah sangat ujian ini.
“Tapi apabila anak saya menangis, arwah ayah saya menangis, isteri saya menangis, isteri kepada pasukan saya menangis, kami cuma manusia biasa,”katanya.
Selain itu, kata Ebit, dia juga tidak sanggup lagi membiarkan lebih banyak fitnah berlaku dan sesuatu harus dilakukan bagi menghentikannya.
“Penat,letih dan berat ujian. Ratusan ribu orang melihat fitnah tentang saya. Hari ini masih belum habis. Pagi ini anak juga peluk saya menangis. Cukuplah.
“Saya reda pada Allah. Saya diam dan belum ada sepatah atau kenyataan daripada saya. Makin ramai buat kenyataan tentang saya. Ini tentang saya, keluarga dan pasukan saya, menyebabkan arwah ayah saya pun menangis.
“Isteri dan anak-anak saya pun menangis kerana tertekan. Saya benar-benar kecewa dan sedih. Saya berdoa dan serahkan semuanya kepada Allah SWT,”katanya.
Dalam pada itu, pelbagai respons turut dilihat pada ruangan komen di akaun Instagram Ebit dengan setakat ini rata-ratanya memberi semangat dan mendoakan yang terbaik buat pendakwah tersebut.