‘Duit simpanan berkurangan, sampai bila?’ - Shah Iskandar - Utusan Malaysia

‘Duit simpanan berkurangan, sampai bila?’ – Shah Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shah Iskandar tidak menafikan wang simpanan hasil lakonannya masih mencukupi untuk menampung hidup dia sekeluarga setakat hari ini.

Walau bagaimanapun, anak jati kelahiran Singapura itu bimbang jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tidak memberikan lampu hijau buat penggiat seni untuk mencari rezeki hidup.

“Wang simpanan, Alhamdulillah masih ada tetapi sampai bila? Saban hari semakin berkurangan. Punca pendapatan kami ini bergantung pada projek, kalau tiada, tiadalah.

“Saya tak mahulah sentuh kerja kerajaan Malaysia bagaimana, sebab saya pun warganegara Singapura walaupun bermastautin sudah lebih sedekad di sini. Tapi saya percaya kerajaan telah sedaya upaya merencanakan yang terbaik untuk rakyat di sini.

“Di sana (Singapura) negara berskala kecil mungkin kerana itu penularan Covid-19 dapat dibendung dengan mudah. Sebenarnya saya terkilan bila segelintir rakyat di sini tidak ada titik persefahaman untuk patuh prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya.

Terus bersangka baik mendepani hari baru yang tidak tahu bila negara ini akan sembuh daripada Covid-19, pelakon itu bersyukur kerana dapat meluangkan lebih banyak masa bersama isteri dan anaknya.

“Saya sentiasa fikir husnuzon. Setidaknya duduk rumah, kita ada keluarga dapat habiskan masa bersama setiap hari,” kata Shah yang sudah dua tahun tidak pulang ke negara kelahirannya.

Dalam masa sama pelakon drama Dendam Aurora itu berkata, cahaya matanya, Yusuf Zulkarnaen, lapan bulan, adalah penguat semangatnya ketika pandemik ini.

“Inilah (sambil menunjukkan anaknya) sebab utama kenapa saya masih mampu untuk meneruskan hidup dan tersenyum. Selain itu, mungkin klise tapi ya kita tak boleh biarkan diri diselubungi depresi dan tertekan, ambil air sembahyang dan solat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Shah kini aktif berniaga sambal dan juga seluar fitness sebagai langkah mencari sumber pendapatan tambahan. Untuk pembelian boleh hubungi secara terus di Instagramnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya