INDIA: Pelakon dan produser legenda, Dilip Kumar dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhirnya di usia 98 tahun akibat kesukaran bernafas di Hospital Hinduja, Mumbai sekitar pukul 7.30 pagi, hari ini.
Berita duka itu dikhabar menerusi akaun Twitter miliknya yang dipercayai disampaikan sendiri oleh ahli keluarga terdekat, Faisal Farooqui.
“Dengan berat hati dan takziah dimaklumkan kesayangan kita, Dilip telah meninggal dunia. Dari tuhan kita datang dan kepada-Nya kita kembali,” ciap Faisal.
Menurut laporan media tempatan India, terdahulu Dr. Jalil yang bertugas dan merawat pelakon itu turut mengesahkan kematiannya selepas keadaan kesihatan merosot.
Menerusi ciapan di akaun sama, Faisal memaklumkan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Juhu Qabrastan, Santacruz, Mumbai.
Sebelum ini Dilip pernah dimasukkan ke hospital awal Jun dan 30 Jun lalu. Pun begitu, menerusi ciapan isteri juga seorang pelakon, Saira Banu Khan, pada 5 Julai lalu dikhabarkan kesihatan suaminya kembali normal.
Menerusi perkahwinan Saira dan Dilip pada 1966 dan tidak dikurniakan zuriat.
Dilip atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Khan ketika hayatnya terkenal menerusi filem Devdas, Naya Daur, Ganga Jamuna dan banyak lagi.
Menerusi laporan media tempatan berlainan dapat dilihat pelakon Shah Rukh Khan tampil memberikan penghormatan terakhir. Manakala pelakon terkenal Amitabh Bachan juga melayangkan salam takziah menerusi akaun Twitternya.