ADA orang pakai kolar biru. Mereka kemacar yang membanting tulang empat kerat demi secupak rezeki. Ada orang pula berkolar putih. Mereka memerah otak lapan jam sehari demi mengejar kualiti hidup.
Namun, empat anak muda ini memilih untuk menyarung kolar hijau. Meraikan kasih alam dengan bunyi-bunyian.
Mereka Kolar Hijau, kugiran alternatif rock dari Klang yang dianggotai Ijat (vokalis/gitaris); Adeep (gitaris); Ishak (bass) dan Raja (dram).
Minat kepada alam sekitar. Itu jawapan mereka apabila saya tanyakan, mengapa Kolar Hijau?
Secara peribadi, saya dapat rasakan minat mereka kepada alam melalui lagu Khayalan yang baru dilancarkan secara digital Mei lalu. Perasaan mendengarnya sama seperti apa yang saya rasa ketika bertemankan alam. Ada nyaman dan takjub yang hadir bersilih ganti.
Dunia khayalan
Perasaannya memimik alam namun isi dan ilhamnya tidak sepenuhnya begitu. Menurut Kolar Hijau, lagu ini tentang kefanaan dunia.
“Ijat pernah mengalami fasa yang mana dia dalam kesedihan yang mendalam, tentang perkembangan hidup dan lain-lain.
“Akibat depresi ini, Ijat dinasihati arwah ayahnya tentang dunia yang tidak abadi dan apa yang dilalui hanya sementara. Yang abadi ialah Yang Maha Esa,” kongsi Kolar Hijau.
Inspirasi ketuhanan dan pengalaman bertemu jalan keluar daripada depresi itu diabadikan dalam lagu yang sangat nyaman. Begitulah agaknya Ijat mengingati pesan ayahnya sebagai penyuluh hidup: nyaman dan hijau.
Menggambarkan segala isi dunia sebagai khayalan juga tidak menjadikan lagu ini nihil – pesimis melampau; tiada kepercayaan, kesetiaan dan tujuan – kerana ia mengajak kita berpaut kepada Tuhan yang abadi. Maka, mereka tinggalkan kita dengan pesan “sambutlah rindu pada jiwamu yang abadi”.
Alif Ba Ta Sa Jim Ha!
Khayalan dimulakan dengan kiraan dalam huruf Jawi. Ringkas sahaja perubahan yang mereka lakukan tetapi ia berjaya menarik banyak perhatian. Boleh jadi, kiraan awal itu yang paling bercangkuk dan diingati dalam lagu ini selain korusnya.
Menurut Kolar Hijau, ia sebagai penghargaan buat tulisan Jawi yang merupakan warisan budaya Melayu serta jati diri rantau Nusantara.
“Sebab keunikan dan kelainan penggunaannya sebagai unsur Nusantara dalam menyampaikan karya-karya kami. Ia unik sebab sebab jarang pemuzik buat kiraan muzik dengan huruf Jawi,” kongsi mereka.
Kugiran yang pernah dikenali sebagai Box For Letters itu juga mengakui, mereka cenderung menggunakan unsur Nusantara dalam muzik mereka walaupun banyak terinspirasi dengan kugiran dan pemuzik Barat.
Ramai dalam kalangan rakan saya yang merujuk Kolar Hijau sebagai Coldplay Malaysia. Saya yang kurang mahir bab teknikal dan membaca pengaruh bunyi dalam muzik akan angguk saja.
Jelas Kolar Hijau, mereka memang terpengaruh dengan Coldplay, malah banyak memainkan lagu-lagu kugiran London itu. Namun, Coldplay bukan satu-satunya rujukan mereka. Pink Floyd, Butterfingers dan Efek Rumah Kaca antara yang disebut dan kini mereka banyak mengambil inspirasi dari bunyian dan muzik Nusantara.
“Kolar Hijau ada bunyi dan perasaan muziknya yang tersendiri,” tegas mereka.
Pandemik Lagi
Subtajuk ini homaj buat Senario. Kalau minggu depan saya masih perlu tulis tentang pandemik, subtajuknya Lagi-Lagi Pandemik. Semoga saya tak sampai pada Pandemik The Movie Ops Pocot.
Ya, kita masih dibelenggu pandemik dan Kolar Hijau antara yang terkesan. Mereka punya banyak perancangan namun semuanya tergendala.
Yang terdekat mereka bercadang untuk melancarkan versi akustik untuk Khayalan. Mereka juga mahu lancarkan cendermata dan merakam lagu seterusnya, namun semuanya terbantut. Usaha mengumpul dana untuk album juga tertangguh.
Namun, seperti lagunya, mereka mahu kita semua kekal positif (jiwa, bukan Covid). Pesan Kolar Hijau, kita semua perlu berhati-hati dan pastikan kesihatan terjaga. Jaga kesihatan fizikal dan mental, dan mereka doakan kita terus tabah menghadapi pandemik ini. Paling penting, ambil vaksin supaya kita semua terlindung dan menjadikan Covid-19 sebagai sejarah yang hanya untuk dikenang.
Cadangan saya, kalau stres dan rindu nak mandi air terjun, daki gunung atau lepak dalam hutan, buka lagu Khayalan kuat-kuat. Pejam mata dan nikmati lagu itu sedalamnya. Ia boleh jadi penawar untuk jiwa kusut. Boleh dengar di Spotify dan video lirik di Youtube.