LOS ANGELES : Penyanyi pop terkenal, Britney Spears dilaporkan pertama kali menggunakan tanda pagar Free Britney secara rasmi hari ini sekali gus memberi isyarat bahawa dia menyokong gerakan tersebut yang dibuat oleh jutaan peminatnya sejak 2019.
Ia mungkin dilihat sebagai satu tindakan yang kecil, tetapi meninggalkan impak yang besar buat peminatnya di seluruh dunia yang selama ini sering tertanya-tanya sama ada akaun media sosialnya dikawal oleh orang lain atau dirinya sendiri.
Perkara itu juga adalah susulan daripada kejayaan Britney mendapatkan peguam baru semalam untuk mengendalikan kes rayuan penyingkiran bapanya, Jamie Spears yang didakwa mencengkam dan mengawal hidupnya sejak 13 tahun lalu.
Memuat naik satu hantaran di Instagram, Britney berterima kasih kepada peminat-peminatnya yang selama ini menyokong dan sentiasa berada di belakangnya dalam keadaan baik dan buruk.
“Saya rasa sangat bersyukur dan dirahmati. Terima kasih kepada semua peminat-peminat yang sentiasa menyokong saya. Anda tidak akan tahu betapa saya amat menghargai semua sokongan anda, peminat-peminat yang begitu mengagumkan.
“Semoga Tuhan sentiasa merahmati anda! Ini adalah cara saya meraikan kejayaan hari ini, dengan menunggang kuda dan membuat lompatan putar! #FreeBritney,”katanya.
Hantaran itu kemudiannya mendapat jumlah tontonan sebanyak 5.9 juta daripada pengikut dan peminat.
Turut kelihatan meninggalkan komen ialah kekasihnya, Sam Asghari termasuk penyanyi popular, Ariana Grande.
“Anda sangat disayangi dan ramai berada di belakang anda menyokong,”kata Ariana.
Terdahulu, ketika sesi perbicaraan di mahkamah 14 Julai lalu, Britney mendedahkan dia percaya pengendali kewangan, hartanah dan urusan peribadinya (Jamie) yang dilantik mahkamah sejak 2008 telah melakukan penganiayaan ke atas dirinya.
“Saya berada di sini untuk menyingkirkan dia dan mendakwa dirinya melakukan penganiayaan ke atas saya sepanjang dilantik pihak mahkamah.
“Selain cuba mengawal kelakuan dan hal peribadi, saya juga mahu dia saya disiasat. Perkara ini nyata memberi ‘hak’ agar dia mengawal keseluruhan hidup saya. Itu adalah satu bentuk penganiayaan dan kita semua tahu tentang perkara ini,”katanya.
Tahun lalu, Britney gagal dalam cubaannya untuk ‘menyingkirkan’ bapanya daripada mengawal kehidupan dan hal-hal peribadinya selepas Mahkamah Los Angeles memutuskan perkara itu akan terus berkuat kuasa sehingga tahun ini.