KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer terkenal, Harry Khalifah, 42, tidak melihat nama dan populariti sebagai sesuatu yang harus dikejar ketika mana-mana pihak sibuk menjalankan misi gerakan bantuan kepada golongan terjejas pada waktu ini.
Menurut Harry, sepatutnya urusan misi itu yang menjadi keutamaan memandangkan dalam keadaan sekarang banyak pihak sedang hidup tertekan dan memerlukan pertolongan.
“Kalau nak kejar nama atau populariti sekali pun, ini bukan masanya. Sekarang masa untuk membantu orang. Berapa ramai individu dan keluarga yang terjejas akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Janganlah sibuk mengejar nama pula. Kalau nak cari publisiti atau populariti, saya saran lebih baik anda duduk tepi,”katanya dalam satu sidang media secara virtual Pertubuhan Gerakan Muafakat Malaysia (PGMM) hari ini.
Harry berkata demikian ketika ditanya mengenai isu segelintir pertubuhan atau individu termasuk artis yang mungkin menyalahgunakan misi bantuan atas dasar mengejar nama mahupun dikhuatiri mempunyai agenda tertentu.
Selain itu, Harry berkata, dia berharap setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam mana-mana misi bantuan agar tidak tergelincir daripada niat asal dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kalau ada yang ambil duit masuk poket sendiri itu, satu sahaja soalan saya. Pernah tak terfikir andai perkara seperti itu terjadi pada diri dan keluarga anda?
“Sebab itulah kena pasang niat yang betul. Janganlah buat begitu sebab fikirlah akan akibat dan kifarahnya yang pasti akan datang,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai PGMM yang dikendalikan, sebagai presiden, Harry bersyukur kerana mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada beberapa rakan artis dengan antaranya ialah Ezad Lazim, Danial Zaini, Floor 88 dan Syafiq Farhain.
Menurutnya, PGMM ditubuhkan dengan satu tujuan yang sama iaitu menghulurkan bantuan kepada mana-mana masyarakat yang terjejas terutama dalam keadaan pandemik kini.
“Sebagaimana yang kita tengok, merata-rata orang hidup susah sekarang ketika pandemik dan PKP ini dan kami tentunya tidak mahu duduk diam sahaja tanpa membantu.
“Atas inisiatif sendiri, kami sama-sama tubuhkan PGMM dengan harapan akan ada lebih ramai lagi pihak yang sama-sama mahu berganding bahu meneruskan misi ini dari semasa ke semasa,”katanya.
Menurut Harry, setakat ini menerusi program Jelajah PGMM Berkongsi Rezeki, pihaknya mendapat sokongan daripada syarikat Amar Musafir Holdings Sdn Bhd dalam mengagihkan sebanyak 200 pek barangan keperluan dapur untuk individu sasaran.
“PGMM telah mengenal pasti sebanyak 200 keluarga yang terjejas kerana PKP dan pengagihan akan dilakukan secara berperingkat bermula hari ini.
“Tetapi bantuan tidak akan terhenti di sini. Sekiranya ada mana-mana individu lain yang meminta bantuan, kami akan usahakan pengagihan yang sama sehinggalah situasi semasa dilihat semakin pulih,”katanya.