KUALA LUMPUR: Pelakon, Mona Allen memberitahu dia dan suaminya, Pekin Ibrahim masing-masing tidak terburu-buru untuk menimang cahaya mata walaupun sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut pelakon drama Hati Yang Dikhianati itu, berkata, mereka dalam usaha mendapatkan zuriat dan sudah menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Tiada pula yang mengata di sepanjang tiga tahun tempoh perkahwinan saya (tertawa kecil). Malah peminat dan keluarga terus mendoakan semoga dikurniakan cahaya mata.
“Alhamdulillah, saya sejujurnya tak pernah sekali pun ada perasaan tertekan itu. Sebab kami tak terburu-buru dan pada masa sama kesihatan kami berdua sihat. Jadi kali ini cuba pulalah rawatan tradisional nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas pertanyaan kesediaan untuk memikul tugas sebagai ibu, pelakon drama Love Elsa itu berkata, sebelum ini dia tidak serius memikirkan zuriat dan aktif dengan lakonan.
“Bukanlah sebab sekarang ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan saya lebih banyak masa dan baru fikir nak ada anak sebagai teman…, cuma sebelum ini terikat dengan komitmen dan kontrak,” katanya.
Sementara itu bercakap mengenai aktiviti ketika tiada penggambaran sewaktu PKPD ini pula, Mona berjinak dengan menjual kek butter.
“Asalnya suka-suka isi masa kosong buat kek resipi turun-temurun keluarga dan berkongsi di media sosial. Tak sangka mendapat sambutan dan tempatan yang menggalakkan,” katanya yang mengehadkan sebanyak 20 tempahan saja kerana tiada bantuan.
Untuk rekod, Mona dan Pekin mendirikan rumah tangga pada 7 Disember 2018 dan dihadiri oleh keluarga serta kenalan rapat sahaja.