Kisah berdebatan antara dua produser drama memang cukup hangat diperkatakan. Yalah, masing-masing ada pendapat sendiri. Drama masing-masing pun popular, pecah panggung. Jadi untuk apa berbalah, sama-sama satu industri kan.
Cuma Poklip cukup tak berkenan dengan perangai seorang pelakon ini yang mungkin boleh disifatkan sebagai batu api. Di ruangan komen si polan dia ada. Tup tup, di ruangan komen si polan satu lagi pun dia menjengah masuk.
Poklip faham kalau dia mahu jadi orang tengah untuk kedua produser itu, cuma pemilihan ayat agak kurang tepatlah. Macam hendak terus melaga-lagakan dua orang itu. Jadi Poklip pun kurang faham apa niat pelakon itu sebenarnya.
Bukan apa, cara itu mungkin salah. Takut pula nanti, yang kena tempiasnya awak. Sudahlah awak itu pelakon drama kedua-dua produser itu. Nanti yang kiri gam, yang kanan pun gam. Tahu-tahu, awak merentan di media sosial.
Poklip cuma mampu menasihati sahaja. Mungkin awak patut simpan komen itu dahulu sementara tunggu isu itu reda. Ingat, ramai yang memerhati dan suka menyampai. Lain niat awak, lain pula yang disampaikan. Tak baik tau!
Tapi Poklip pun tak faham macam mana isu drama boleh timbul. Peminat punya remote televisyen, yang kita gaduhkan kenapa. Kalau si A pandai buat drama mak cik bawang tapi tetap popular, kita nak bising buat apa kan?
Drama si B pun boleh tahan hebat. Jadi untuk apa berbalah. Macam Poklip cakap, masing-masing punya sasaran penonton. Mungkin juga ada yang macam Poklip, dua-dua layan. Tapi Poklip lagi suka drama Korea. Lebih-lebih lagi tema forensik atau jenayah. Best!