KUALA LUMPUR : Disahkan positif Covid-19 sejak 10 hari lalu, pengulas program sukan Astro Arena, Hafizal Hamad,42, percaya setiap pesakit sebenarnya memerlukan sistem sokongan yang kuat daripada orang sekeliling terutama keluarga, majikan selain rakan-rakan.
Menurut Hafizal, berdasarkan pengalaman sendiri, pesakit Covid biasanya seakan menolak realiti bahawa mereka sedang berdepan dengan penyakit ini selain rata-rata pada awalnya mudah terdedah dengan rasa panik dan kemurungan.
“Itu yang saya rasakan sewaktu mula-mula disahkan positif Covid-19. Sakit itu satu hal, emosi juga jadi terganggu. Ini bukan setakat demam campak atau apa. Bila terkena Covid, jujurnya mental jadi dungu sekejap tak tahu nak buat apa, panik.
“Mula terfikir anak-anak dan isteri macam mana? Saya pula tidak menunjukkan sebarang simptom dan tahu-tahu saja disahkan positif. Dunia terasa seakan gelap seketika.
“Sebab itulah perlunya ada sistem sokongan yang kuat daripada orang sekeliling. Cukuplah dengan cuma bertanya khabar, cerialah sedikit emosi dan jiwa,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Selain itu, kongsi pengacara program Bola Mamak Astro Arena ini, dia bagaimanapun berterima kasih dengan sebahagian rakan-rakan yang mengambil tahu akan situasi dirinya dan menghargai setiap usaha mereka walaupun tidak dapat berkumpul secara fizikal.
“Bila tahu saya kena kuarantin di rumah, ada kawan-kawan yang menghubungi dan memberi semangat pada saya supaya tidak berfikiran negatif. Ada juga yang hairan macam mana saya kena Covid sedangkan tiada simptom.
“Buat masa sekarang saya direhatkan daripada sebarang tugas di pejabat dan akan kembali semula bekerja selepas tamat kuarantin di rumah selama dua minggu.
“Sementara itu, saya cuba isi masa yang ada dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat, termasuk masuk kelas mengaji Al-Quran secara atas talian dan mengadakan program live berjudul Nindia di Instagram,”katanya.
Dalam pada itu, kata Hafizal lagi, dia menggesa semua pihak agar cakna dan mengambil tanggungjawab untuk jujur melakukan ujian calitan pengesanan Covid-19 selain jangan menganggap penyakit ini sebagai satu gurauan.
Ini kerana, katanya, terdapat segelintir pihak yang masih menganggap Covid-19 sebagai seakan satu propaganda sedangkan realitinya sudah jelas ramai dijangkiti selain membawa kepada kes kematian di seluruh dunia.
“Penyakit ini bila tak terkena pada batang hidung sendiri mungkin mereka tak tahu. Bila terkena, memang anda perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Lagi satu, lakukan ujian calitan dengan jujur supaya kita dapat sama-sama menyelamatkan nyawa orang lain,”katanya.
Hafizal disahkan positif Covid-19 pada 19 Jun lalu sebelum diarahkan pihak hospital untuk menjalani kuarantin selama dua minggu di rumah.
Bagaimanapun, pengacara ini bersyukur kerana isteri, Faidzaa Zaini, 43, serta empat anaknya,Muhammad Ilham Darwish,14,Muhammad Dariss Baihaqi,9,Muhammad Qhaliff Daryan,4, serta Muhammad Dareeq Aydeen yang berusia 9 bulan disahkan negatif Covid-19.
Hafizal menggalas tugas sebagai pengulas sukan bersama pasukan Astro Arena sejak 4 Januari 2013 selepas 10 tahun berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM).