KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sarah Suhairi, meluahkan rasa simpati terhadap pelajar sekolah yang terpaksa berdepan dengan norma baharu menerusi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Menurut penyanyi Andaikan itu, pelbagai ragam yang dilalui oleh guru dan pelajar berhubung permasalahan jaringan Internet ataupun penggunaan medium kelas maya seperti Zoom dan Google Meet yang sukar bagi segelintir mereka.
“Cikgu pun sukar untuk fahamkan. PdPR ini mencabar untuk fokus. Macam-macam ragam juga dapat kita baca dan dengar.
“Saya pun ada adik-adik yang masih bersekolah, seorang dah besar boleh belajar sendiri. Tapi mungkin adik bongsu perlukan rujukan dan bantuan sebab ayah bekerja, ibu pula dengan kerja rumah.
“Jadi sebagai kakak inilah bila ada masa terluang yang kena rajin-rajin untuk tolong adik-adik di rumah ini. Saya sentiasa memikirkan cara terbaik untuk adik supaya faham pembelajaran dari rumah. Ibu bapa pun sama kena fikirkan alternatif buat mereka. Kita doakan buat pelajar di luar sana untuk terus kuat semangat,” ujarnya.
Tambah Sarah, tidak semua mata pelajaran dia ingat, namun dia juga masih merujuk buku teks serta penerangan di YouTube untuk memahami semula subjek yang pernah dipelajari ketika di bangku sekolah dulu.
“Tak kira apa saja subjek kena ingat dan faham semua. Kiranya saya dan adik belajar bersama. Saya tidaklah hebat tapi bagi yang terbaik,” katanya.