KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Yazmin Aziz, 19, mendedahkan pernah dikasari sekumpulan pelajar lelaki hanya kerana tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik.
Gadis berdarah kacukan Melayu dan Filipina ini berkata, kejadian berlaku sekitar tahun 2011 ketika dia menuntut di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur, tidak lama selepas berpindah dari Filipina ke Malaysia.
“Hampir setiap hari saya diganggu. Selain cemuhan dan kata-kata kesat, mereka juga bertindak memukul dan meludah muka saya kerana tak fasih berbahasa Melayu.
“Sehinggalah perkara itu diketahui ibu saya yang kemudian bertindak membuat aduan ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Penyanyi yang dikenali menerusi program televisyen Lagu Cinta Kita 2 ini turut mendedahkan dirinya dihujani pelbagai reaksi orang ramai selepas berkongsi ‘kisah hitam’ itu di Instagramnya.
“Ramai yang bersimpati, tidak kurang juga yang menceritakan pengalaman sama dan meminta nasihat daripada saya berkaitan cara untuk berdepan masalah buli.
“Saya amat mengalu-alukan maklum balas pengikut saya di Instagram dan berharap dapat membantu mereka untuk melawan apa juga bentuk kekerasan yang mereka hadapi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yazmin yang juga aktif menulis lirik memberitahu sedang berkolaborasi dengan komposer terkemuka, Sharon Paul untuk penghasilan single baharu yang dijangka bakal dirakamkan sekitar Julai depan.