Masuk Jawi nostalgia zaman kanak-kanak - Utusan Malaysia

Masuk Jawi nostalgia zaman kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Walaupun berdepan dengan isu kekangan bajet selain pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penerbit filem Masuk Jawi, Wan Mahadzer Wan Abdullah lega akhirnya naskah tersebut berjaya diselesaikan mengikut jadual.

Menurut Mahadzer, untuk menghasilkan filem ini, produksinya, Wandet Film Production memperuntukkan sebanyak RM350,000 sebagai kos keseluruhan dan tentu besar harapannya untuk melihat naskah ini dapat dipertontonkan kepada semua masyarakat.

“Ia merupakan projek sulung kami di bawah produksi ini. Walaupun di awalnya berdepan dengan kekangan bajet, tetapi saya faham, dengan situasi sekarang kita tidak punya banyak pilihan.

“Kami tetap berusaha untuk menyiapkan dan menghasilkan yang terbaik dengan segala kemampuan yang ada,”katanya.

Menurut Mahadzer, hasrat utamanya adalah untuk melihat filem genre kanak-kanak dapat terus dipaparkan kepada masyarakat memandangkan tidak banyak naskah genre ini menjadi pilihan penerbit atau pengarah untuk ditayangkan.

“Memang tidak banyak drama atau filem yang memaparkan kisah nostalgia yang cukup dekat dengan hati penonton dan filem ini pula saya terbitkan dengan mengangkat kisah kerenah kanak-kanak yang akan berkhatan.

“Idea ini timbul untuk mengembalikan nostalgia itu di mana, proses berkhatan ini akan dilalui oleh semua kanak-kanak terutamanya lelaki dengan pelbagai ragam dan saya rasa ia satu kisah yang menarik untuk dipaparkan.

“Apatah lagi majlis dan cara berkhatan yang dipaparkan juga mengikut adat tradisi lama yang dikenali sebagai ‘Masuk Jawi’,”katanya.

Dalam pada itu, menurut Mahadzer, antara cabaran utama filem ini adalah untuk membentuk karakter terutama sekali pelakon-pelakon baharu yang membarisi karya arahan Che Mie ini.

“Untuk filem ini kami memang mengutamakan bakat-bakat baru serta turut dibarisi pelakon yang lebih berpengalaman seperti Ropie, Fendi Seman dan Zainol Ismail.

“Kebanyakan pelakon yang dipilih juga berasal dari Kedah memandangkan 100 peratus dialognya menggunakan loghat utara.

“Antara lain yang terlibat dalam filem ini termasuk, Zul Ghani, Amirul Rahman, Muhammad Daffie, Muhammad Haziman, Cik Hawa Fasha, Fiesha Sha, Nur Hanim, Anne Adorra dan S. Azali,”katanya.

Masuk Jawi mengisahkan ragam tiga sahabat iaitu Tat, Ery dan Shamim yang sudah empat kali melarikan diri daripada berkhatan.

Pelbagai helah yang telah dilakukan oleh tiga sekawan ini semata-mata untuk melarikan diri daripada berkhatan dengan pelbagai ragam sehingga menyebabkan huru hara dalam kalangan penduduk kampung.

Filem ini akan berada di pawagam rumah anda di saluran Astro First bermula 17 Jun 2021 dan untuk melanggan sila ke saluran 480 atau boleh juga boleh distrim di Astro Go atau On Demand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya