PETALING JAYA: Pelakon popular, Reen Rahim, menasihati kepada para remaja di luar sana agar tidak terpengaruh dengan kehidupan orang lain.
Menerusi perkongsian di Instagram, Reen turut berpesan supaya kita semua termasuk dirinya juga mengukur baju di badan sendiri serta tidak mementingkan diri.
“Jadilah diri sendiri, jangan mementingkan diri memaksa ibu bapa untuk dapatkan apa yang rakan-rakan awak dapat. Usaha sendiri!
“Jangan ikut sangat dunia tipu-tipu ini, ukur baju di badan sendiri. Jangan acah-acah hot dan kaya tetapi tiada apa-apa.
“Kalau ibu bapa kita, Allah uji mereka untuk hidup tahap itu sahaja. Tidak mengapa, tanam dalam hati, satu hari nanti akan bagi apa yang aku nak pada mereka. Biar mereka bangga dengan kita,” katanya.
Dalam pada itu, dia menitipkan rasa syukur dan gembira kerana dikurniakan keluarga yang bahagia walaupun dilahirkan dalam kehidupan sederhana.
Menerusi perkongsian tersebut, dia turut bangga berkongsi pengalaman ketika di bangku sekolah ketika bapanya menjemput menaiki motorsikal.
“Dari sekolah lagi tidak pernah kisah baba (ayah) hantar serta ambil saya di sekolah menaiki motor. Walaupun baba penat dan comot.
“Saya bangga dia datang. Orang lain ibu bapa kaya, mewah-mewah kereta datang jemput anak. Dari kecil saya bangga jika ibu bapa datang walaupun naik van tin biskut,” kongsinya.