Jadi pelakon umpama jadi magician – Brian Chan - Utusan Malaysia

Jadi pelakon umpama jadi magician – Brian Chan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mula berjinak dalam industri seni menerusi teater, Brian Chan tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Dia mahu terus berlari dan bergelar seorang pelakon profesional.

“Saya ingin menjadi seorang pelakon untuk seumur hidup kerana ingin buat orang yang menonton menangis dan ketawa.

“Menjadi pelakon hampir sama seperti menjadi seorang ahli silap mata kerana kami boleh membawa penonton ke dunia yang lain. Itu sangat ajaib bagi saya,” katanya.

Pemilik nama Chan Yen Han telah terlibat dalam beberapa persembahan teater sejak 2015 setelah selesai menamatkan pengajiannya di Sunway Universiti dalam bidang Diploma Seni Persembahan.

Brian telah terlibat dalam lakonan teater seperti Uda dan Dara, Ola Bola, Thunderstorm dan lain-lain termasuk berlakon dalam beberapa iklan.

Pemuda berusia 27 tahun itu mula berlakon untuk siri drama televisyen pertamanya, Scammer yang telah mula disiarkan pada pada 24 Mei lalu di saluran Astro Ria.

“Dalam drama itu saya membawa watak antagonis iaitu Leon yang merupakan seorang gangster yang tidak suka orang lain membuat pengubahan wang haram di kawasannya tanpa kebenarannya.

“Namun, watak yang saya bawa itu kompleks kerana mempunyai perubahan daripada awal hingga akhir drama bersiri itu,” ujar Brian yang telah memenangi anugerah pelakon watak utama terbaik dalam Cameronian Awards untuk wataknya sebagai Tauke dalam lakonan teater Ola Bola.

Berkongsi pengalamannya dalam lakonan teater dan televisyen, Brian memberitahu ia mempunyai cabaran yang tersendiri.

Jelasnya, lakonan teater tidak boleh dipotong seperti babak lakonan televisyen. Justeru, jika ada yang membuat kesilapan harus teruskan lakonan dan baiki secara spontan di atas pentas.

Menurutnya, lakonan teater muzikal juga memerlukan dirinya untuk menyanyi dan menari bagi menghiburkan penonton jadi dia harus mempunyai stamina yang tinggi.

Sementara lakonan untuk televisyen pula, menurut Brian, memerlukan tenaga yang sama dan konsisten untuk setiap babak terutamanya selepas berehat.

“Saya berharap saya akan diberi peluang oleh pengarah serta penerbit untuk melakukan lebih banyak lakonan televisyen,” kata anak kelahiran Perak itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya