KECENDERUNGAN stesen televisyen atau sesebuah produksi khususnya penerbit dan pengarah memilih kelompok pempengaruh (instafamous/influencer) untuk terjun masuk ke dalam bidang lakonan sebenarnya wajar dipandang serius.
Ini kerana, dari satu sudut, ia menunjukkan nilai bakat dan kemahiran pelakon yang benar-benar membawa jiwa dan kecintaan terhadap seni itu selama ini seolah-olah telah dirobek dengan mudah.
Iyalah, sudah bersusah payah menjual bakat, mencuba mencari peluang yang sulit bukan kepalang, malah ada yang sememangnya merupakan graduan dalam bidang seni, namun semua itu seakan bukan lagi satu jaminan untuk diri menerima sesebuah tawaran.
Apa yang menjadi ukuran pada zaman sekarang, kalau tidak kerana popular, ditanya pula berapa jumlah pengikut yang ada.
Berbeza pula kalau anda seorang pempengaruh atau instafamous. Itu dilihat lebih lumayan memandangkan rata-rata mereka dianggap pasti ghairah untuk bergelar pelakon terkenal.
Terima bayaran rendah dan tidak setimpal pun tidak mengapa asal angguk sahaja kepala, janji ‘akulah bintang selepas ini’. Lakonan kayu? Untuk apa dipertikai lagi jika yang memilih juga sudah sedari awal tahu?
Meraih pandangan pengamal industri, Pancaindera cuba merungkaikan isu yang membelenggu dunia lakonan kini.
Kalau mahu, sediakanlah latihan – Nabila Huda
Sedar bahawa pelakon tidak mempunyai hak untuk menghalang keputusan yang dibuat oleh golongan penerbit, pengarah atau stesen televisyen dari aspek pemilihan aktor dan aktres untuk sesebuah naskah, Nabila tegas menyarankan agar kelompok pempengaruh ini diberikan latihan terlebih dahulu.
Menurut pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 ini, pucuk pangkalnya sesiapa sahaja atau walau bidang apa juga yang diceburi, asas adalah perkara utama yang perlu ditekankan.
“Saya pernah katakan sebelum ini, kalau nak sangat ambil kelompok ini terjun bidang lakonan, penerbit atau pengarah laburkan juga satu peruntukan untuk beri mereka ini kelas lakonan atau sekurang-kurangnya latihan intensif.
“Untuk bagi mereka faham dan ada persediaan apabila masuk ke set penggambaran. Dapat tekankan asas lakonan sahaja pun tak apa,”katanya.
Tambah Nabila, dia sedar mungkin ada pihak akan mempertikai apa salahnya jika pelakon senior berkongsi ilmu dan pengalaman dengan kelompok pempengaruh ini jika benar kehadiran mereka dalam industri tidak dilihat sebagai saingan.
“Bukan tak sudi kongsi ilmu. Jangan salah anggap. Kenalah faham, setiap yang terlibat di set secara profesionalnya nak siapkan kerja pada waktu yang ditetapkan. Kalau masa itu juga kita nak beri tunjuk ajar, ganggu kelancaran waktu kerja.
“Kalau kami dulu pun kena belajar apatah lagi kelompok pempengaruh ini. Kenalah juga ada inisiatif nak cari ilmu lakonan itu. Barulah orang tak boleh nak ejek kata lakonan awak kayu,”katanya.
Mereka lebih arif – Alif Muhaimin
Pendatang baharu, Alif Muhaimin, 26, berpendapat, pemain industri lebih arif dalam pemilihan dan keputusan yang dibuat.
Tambah Alif, mempunyai rupa paras juga memainkan peranan penting untuk menarik minat penonton.
“Golongan selebriti media sosial memang menjaga peminat. Sekali gus, membuatkan peminat teruja untuk mengikuti perkembangan aktiviti harian atau pun kehidupan sebagai pelakon.
“Semestinya penerbit mahu pelakon yang boleh melariskan produk mereka kan? Tapi rupa sahaja tidak memadai kalau bakat tidak dituai dengan mengikuti kelas-kelas lakonan. Bagi saya antara bakat dan penampilan, kedua-duanya boleh diperkemaskan.
“Tak ada siapa terus hebat berlakon, berilah masa untuk pendatang baharu seperti kami belajar. Semua orang akan hebat untuk berlakon selagi ada minat dan kesanggupan,” ujarnya.
Adab itu penting – Uqasha Senrose
Sedekad dalam industri seni, bagi Uqasha Senrose, pendatang baharu perlu lebih menghargai peluang dan ‘tiket ekpress’ untuk masuk ke dalam dunia lakonan. Tidak seperti mereka dahulu kala.
“Dulu kami kena pergi casting ke sana ke sini tau. Sekarang guna media sosial sahaja. Asal ada followers tinggi, berpeluang untuk jadi pelakon. Jadi hargailah kemudahan dan peluang tersebut.
“Saya tidak ada masalah dengan instafamous atau influencer bergelar pelakon. Bagi saya, kalau itu sudah rezeki jadi tidak mengapa. Buat sebaik boleh. Belajar teknik dan cara lakonan yang betul,” katanya.
Bagi Uqasha, adab dan perangai pelakon baharu itu juga penting dalam memastikan mereka mampu untuk bertahan lama dalam industri. Ada segelintir pendatang baharu boleh berlakon, tetapi tiada adab.
“Tolong jaga adab. Hormat pelakon-pelakon lama. Bukan suruh layan bak raja atau permaisuri pun. Cukup sekadar tahu menghormati dan dalam pada masa sama, kutip pengalaman dan ilmu daripada mereka.
“Sebagai pendatang baharu, kita juga kenalah pandai kawal diri. Tak perlu nak menunjuk sangat pun. Pembawaan diri di set juga penting tau. Jangan nak rasa diri hebat atau popular sangat,” katanya.
Pelakon berusia, bayaran melangit – Shuhaimi Lua
Bagi penerbit terkenal, Shuhaimi Lua, golongan ‘bidan terjun’ itu juga layak diberi peluang seperti mana para pelakon senior lain.
Menurut penerbit Tanah Beris Film Productions Sdn. Bhd. itu, mereka juga akan disaring untuk melihat bakat lakonan selain memiliki persona lain sebelum diambil berlakon.
“Pelakon sedia ada terutama mereka yang sudah popular dan berusia mengharapkan bayaran tinggi. Senario itu menyebabkan industri memerlukan wajah dan bakat baharu sepadan dengan dengan watak.
“Sebenarnya sebelum selebriti media sosial ini diambil berlakon, pihak stesen televisyen dari awal lagi mengarahkan kepada kami untuk mengadakan sesi uji bakat. Tidak semuanya sempurna dan kekurangan dalam diri mereka itu ada.
“Segelintir daripada mereka ada bakat terpendam. Cuma perlu diberi suntikan ke kelas lakonan untuk mengasah dan memperbaiki mutu lakonan serta memahami aspek teknik lakonan termasuk kamera,” ujarnya.
Sebagai seorang pengarah, isu pertikaian seperti ini perlu dihentikan segera supaya industri seni boleh terus berkembang tanpa ada sebarang persepsi.
Hal itu dapat dibuktikan dengan merujuk selebriti media sosial, Sharifah Rose dan pelakon lama seperti Fattah Amin yang pada awalnya kekok namun kini mutu lakonan mereka semakin baik selepas melalui proses kelas lakonan.