KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara emas, Aishah meluahkan rasa bengang terhadap sikap seorang pelanggan yang sudah memesan produk seni keluarannya namun mendiamkan diri ketika diminta untuk membuat pembayaran.
Aishah menerusi Instagramnya berkata, dia menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menghasilkan satu produk seni namun ada juga segelintir pelanggan yang tidak mahu bertanggungjawba dan tidak membalas sebarang pesanan.
“Produk ini sudah ada tuannya. Harap jangan jadi seperti pelanggan sebelum ini lah. Beriya-iya hubungi nak satu set tetapi bila sudah siap dia buat bodoh sahaja. Dah hantar pesanan, Whatsapp buat tak tahu padahal sudah baca.
“Naik darah saya berdepan dengan orang macam ini. Kalau tak nak bagitahu sahaja atau duit tak cukup untuk bayar. Takde masalah langsung. Kalau tengok media sosial, macam-macam hadis dia kongsi. Jadi bukanlah tiba-tiba sakit,” katanya.
Aishah juga menyifatkan tindakan pelanggan itu sebagai kurang adab dan mengakui jelik dengan perangai sebegitu.
“Ramai juga pelanggan saya minta tunggu gaji sebelum buat pembayaran. Tak ada masalah langsung bagi saya. Kalau tak cukup duit lagi nak bayar, bagitahu. Janganlah ignore sahaja.
“Tak tahulah orang lain macam mana tetapi saya rasa orang macam ini kurang adab. Bukanlah saya hadap sangat nak jual hasil produk seni kepada dia, tapi dia dah beriya-iya hubungi. I am so annoyed!,” katanya.