KUALA LUMPUR: “Setakat ini saya okay sahaja, Alhamdulillah. Tapi masih terlalu awal untuk melihat kesan sampingan,”.
Itu kata pelakon, Elfira Loy, penerima suntikan vaksin AstraZeneca di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, petang semalam.
Menurut Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri atau Elfira Loy, 28, keputusan mendapatkan suntikan itu adalah atas dasar diri sendiri dan orang sekeliling serta kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19.
“Sejujurnya saya seorang yang takut nak berjumpa dengan doktor dan tengok jarum, namun dalam masa sama teruja untuk dapatkan vaksin. Bagi saya ia penting untuk kita semua, lambat-laun pun kena ambil.
“Saya ada anak dan ahli keluarga, risau sebab saya bekerja di luar dan berjumpa dengan ramai orang. Jadi, keputusan ini yang terbaik untuk kita semua,”katanya.
Selain itu, kata Elfira, dia juga semakin bersemangat apabila melihat ramai orang mahu mendapatkan vaksin itu semasa berada di hospital.
“Saya nampak ramai orang beratur panjang dan secara tak langsung turut mempengaruhi diri untuk lebih bersemangat.
“Urusan dan proses vaksinasi pun tak lama, sekejap sahaja. Semuanya berjalan dengan lancar. Tak ada rasa sakit pun, rasanya ujian calitan lagi sakit,” katanya.
Elfira berkata demikian ketika ditemui pada majlis Kempen Anti Buli Siber oleh Himaya Premium Hijab Medical Mask di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Berkongsi lebih lanjut mengenai kesan sampingan selepas suntikan seperti mana yang digembar-gemburkan, Elfira tidak ambil pusing dengan berita buruk sebaliknya menumpukan pada cerita yang baik-baik sahaja.
“Bila terlalu takut secara tidak langsung kita akan mencari kesan sampingan yang negatif. Tapi yang positif sebenarnya lagi banyak berbanding yang tak elok kita dengar.
“Malah saya pun sudah bersiap sedia sekiranya berlaku kesan sampingan seperti demam. Hal itu sama seperti mana kita mendapatkan vaksin untuk ke luar negara, kesannya lebih kurang sama.
“Sebenarnya, apabila kita dapat dan lihat adanya kesan yang berlaku, itu bermakna tubuh badan kita memberikan tindak balas. Alhamdulillah syukur saya sudah mendapatkan dos pertama,”katanya.
Difahamkan, Elfira bakal mendapatkan dos kedua 12 minggu lagi.
Manakala suami dan ibunya akan menerima suntikan sama pada Ahad ini dan minggu depan.
Berkenaan ramai yang ponteng temu janji kerana takut dengan cerita yang dimomokkan, kata Elfira, imunisasi tubuh badan masing-masing berbeza mengikut usia dan sebaiknya berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk medapatkan nasihat jika mempunyai sejarah penyakit.
Menurutnya, sebagai saudara-mara atau anak, menjadi tanggungjawab untuk memberi pencerahan dan sampaikan informasi yang sahih.