SOP: Perang siapa salah - Utusan Malaysia

SOP: Perang siapa salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, warganet terlalu asyik memberi tumpuan pada dunia hiburan khususnya golongan artis dan selebriti yang didapati melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam kerancakkan kerajaan memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara.

Pendek kata, silap sedikit maka banyaklah peluru kata-kata pedih yang bakal menembusi diri golongan ini yang secara tak sengaja diklasifikasikan sebagai puak ‘kayangan’, sebaris dengan segelintir golongan VIP atau VVIP yang kononnya kebal undang-undang.

Isu yang dibuka ini bukan soal mahu memenangkan mana-mana pihak. Hakikatnya, siapa yang melakukan kesalahan melanggar peraturan, walau siapa pun diri atau apa latar belakangnya, yang salah tetap salah.

Tidak dinafikan, ada artis dan selebriti yang jelas tidak bijak mengatur langkah sehingga akhirnya mereka dikecam dan dikutuk ramai daripada pelbagai sudut.

Namun persoalannya, adakah peranan menjaga dan mematuhi SOP itu hanya perlu bertumpu pada golongan ini sahaja? Pernahkah anda bertanya pada diri sendiri sejauh mana anda disiplin menjaga SOP tanpa perlu menuding jari pada orang lain?

Mengulas mengenai isu ini, Pancaindera mendapatkan beberapa artis popular tempatan untuk memberi pandangan dalam usaha menanam budaya pemikiran yang lebih sihat tanpa perlu mewujudkan perang siapa salah, siapa benar.

Kena adil – Nubhan

Mengakui selebriti mempunyai peranan dalam mewujudkan kesedaran kepada peminat, bagi penyanyi Nubhan Ahamad untuk meletakkan kesalahan 100 peratus ke atas golongan ini juga sebenarnya tidak adil.

“Tidak adil untuk menyalahkan selebriti sahaja, memang golongan ini menjadi perhatian. Namun bila masuk bab melanggar SOP dan tidak patuh kepada arahan bagi saya semua sama sahaja.

“Melihat keadaan jalan raya ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, bersesak-sesak, mustahil semua artis bukan. Baik netizen mahupun artis memang ada yang menjaga SOP sebaik mungkin.

“Namun tidak harus dilupakan golongan yang mengingkari ini juga memang wujud dalam mana-mana golongan masyarakat,”jelasnya.

Tiada istilah berperang -Izzue Islam

Bagi pelakon popular, Izzue Islam, tiada istilah berperang antara warganet dan selebriti sebaliknya sebagai rakyat, tugas kita semua adalah untuk saling menegur tanpa menjatuhkan mana-mana pihak.

Baginya, selebriti juga manusia biasa dan tidak semuanya ‘suka mencari pasal’ dengan melanggar SOP sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan warganet yang kini melabel artis sebagai golongan kayangan.

“Saya lihat isu ini dari sudut positif. Tugas kita tak kira artis atau tidak adalah untuk sama-sama mematuhi SOP. Teguran dan saling mengingati antara satu sama lain itu tidak boleh dianggap sebagai berperang.

“Memang ada segelintir artis yang mungkin terlepas pandang bab SOP ini, jadi kita sendiri perlu ambil itu sebagi satu peringatan. Kami juga manusia, sama seperti anda semua. Ada masa tersilap,” katanya.

Izzue juga mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi gambar atau video dia media sosisal berikutan tidak mahu menjadi ‘mangsa’ kecaman dek kesilapan diri sendiri.

“Saya sendiri sangat menjaga SOP kerana takut dengan keadaan sekarang. Malah, saya mengambil pendekatan untuk tangguh dahulu semua penggambaran untuk mematuhi arahan kerajaan.

“Kalau ada yang melakukan kesilapan dengan melanggar SOP, mengaku sahaja. Tidak perlu berperang dan anggap itu satu kesilapan yang tidak perlu diulang semula,” katanya.

Tak perlu tuding jari pun – Catriona Ross

Popular dengan watak Kak Kek, Catriona Ross adalah antara artis tanah air yang tidak pernah gagal memberikan nasihat dan pendedahan mengenai kepentingan menjaga SOP kepada masyarakat menerusi platform media sosialnya sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Melahirkan pandangan dari sudut seorang rakyat, kata pelakon berusia 40 tahun ini, mematuhi SOP yang ditetapkan merupakan tanggungjawab semua pihak selagi anda duduk di negara ini.

“Tak perlu tuding jari pada sesiapa. Tak kira anda artis, pembesar negara, ahli badan-badan tertentu, ikutlah arahan dan peraturan yang ditetapkan.

“Sampai sekarang, masih ada lagi yang tak memakai pelitup muka dengan betul, baru-baru ini pun masih ada yang beraya dan melakukan aktiviti ziarah sedangkan sudah dilarang dan arahan itu mudah, jangan buat dan jangan pergi.

“Saya tak boleh terima kalau kita cuma menyalahkan satu pihak sahaja sebab ada sahaja individu lain yang gagal mematuhi peraturan dengan sempurna,”katanya.

Jelas Catriona, menerusi kewujudan varian wabak yang semakin membimbangkan kini, seharusnya setiap individu mengambil tanggungjawab menjaga SOP dengan lebih disiplin demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

“Ini tentang keselamatan dan nyawa, kita hentikanlah perdebatan siapa salah atau tidak kerana fokus patutnya kepada setiap individu dan peranan diri sendiri. Kalau tengok ada orang lain langgar SOP, saat kritikal begini apa yang boleh kita buat jagalah diri sendiri dan keluarga.

“Sebagai individu juga,jangan kita ambil peluang hanya kerana anda mampu atau boleh. Anda mungkin ada surat polis atau kebenaran untuk rentas atau mampu bayar kompaun sekali pun, tetapi itu tidak bermakna anda boleh ambil kesempatan,”katanya.

Nafi pertahan golongan kayangan – Uyaina Arshad

Menolak cuba mempertahankan golongan kayangan dalam video yang dimuat naiknya baru-baru ini, bagi pengacara dan pelakon Uyaina Arshad setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab sendiri.

Melihat situasi menunding jari sebagai sesuatu yang tidak perlu berlaku sekarang, kongsinya dalam keadaan negara sedang bergelut dengan Covid-19, masing-masing juga membawa peranan tersendiri.

“Bila ada yang kata saya cuba mempertahankan golongan kayangan dalam video saya, sebenarnya bukan itu maksud saya. Ikutkan apa yang cuba saya sampaikan adalah pada akhirnya kita semua adalah rakyat yang memerlukan negara ini kembali pulih.

“Sudah banyak kali saya suarakan kebimbangan mengenai keadaan pandemik ini. Cuma kali ini video saya mendapat perhatian ramai. Sudah sampai masanya kita semua mengambil tanggungjawab bersama apa yang paling penting ketika ini mematuhi SOP yang sudah disediakan,”jelasnya.

Dia juga tidak melihat ada salahnya untuk segelintir pihak meluahkan rasa tidak puas hati dengan isu pelanggaran SOP daripada golongan yang sepatutnya menjadi contoh yang baik. Tambahnya sebagai seorang selebriti dia juga terikat dengan peraturan yang sama.

“Bila saya sendiri berada di mata awam, saya cuba menjadi lebih sensitif dalam tempoh sekarang tidak perlu kongsikan semua di laman sosial, semua juga sedang melalui waktu yang sukar.

“Saya tidak salahkan netizen untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Kita semua juga ada hak. Namun seperti yang saya tekankan tadi akhirnya kita semua adalah orang yang sama yang mahukan perkara ini berakhir. Jadi perlu bekerjasama,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya