Saya pun pernah ‘tolak’ Sharifah Rose - Shahrulezad - Utusan Malaysia

Saya pun pernah ‘tolak’ Sharifah Rose – Shahrulezad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas penerbit Md Fadzil Teh atau Hj Zil menyatakan sokongannya terhadap bakat pelakon baharu, Sharifah Rose, pengarah drama popular, Shahrulezad Mohameddin pula tampil memberi kenyataan yang sama.

Menurut Shahrulezad, dia tidak menolak, kemungkinan artis baharu seperti Sharifah Rose yang dilabel sebagai artis kayu mampu menjadi hebat suatu hari nanti andai bakatnya digilap dengan baik.

“Lihat saja pada Fattah Amin. Dia pernah kena ‘tolak’ masa sesi uji bakat dengan Radiusone suatu ketika dulu tahu. Tapi berkat kesungguhannya dan rezeki dia, Fattah sekarang semakin bagus dari aspek kemahiran lakonannya.

“Dia berjaya membuktikan yang saya salah. Sharifah Rose pun saya tengok ada potensi untuk berjaya sekiranya dia bersungguh-sungguh.

“Saya pun pernah ‘tolak’ dia dulu dan harapnya dia boleh buktikan juga yang saya salah. Asalkan dia ikhlas dengan minat lakonan dan jauhi kontroversi yang merepek repek,”katanya.

Shahrulezad berkata demikian dalam satu hantaran yang dibuat dalam Facebook hari ini bagi mengulas mengenai sebuah artikel hiburan tempatan yang memaparkan Hj Zil memuji bakat lakonan Sharifah Rose.

Selain itu,Shahrulezad memberi pandangan, kebanyakan bakat-bakat baharu yang pernah ‘ditolak’ olehnya sebelum ini bukanlah tidak memiliki bakat langsung selain mengaitkan soal rezeki yang dianggap tidak datang pada waktu yang tepat.

“Anda semua sebenarnya tidaklah teruk mana. Cuma mungkin masa itu bukan rezeki anda, itu saja. Oh ya, pelakon Elvina Mohamad dulu pun pernah kena ‘tolak’ dalam projek drama Baby Ana Milik Siapa (BAMS) terbitan Radiusone sebelum ini.

“Masa sesi uji bakat, dia gementar tak masuk akal sampai nak lari dari sesi tersebut casting sebab putus asa dan gelabah berdepan dengan saya. Dia kata saya garang. Tapi berkat pujukan dari sahabat saya, pengarah Nizam Zakaria, Elvina akhirnya terselit jugak berlakon dalam drama BAMS itu.

“Tetap juga dia gelabah tak tahu hujung pangkal bila setiap kali saya kata ‘action’. Tapi dari semasa ke semasa, saya nampak banyak perubahan yang bagus dari aspek lakonannya termasuklah dalam drama Takdir Yang Tertulis. Saya bangga dengan dia,”katanya.

Kebelakangan ini, nama Sharifah Rose sering menjadi perhatian dari sudut negatif dalam media sosial lantaran sebagai seorang pempengaruh media sosial (Instafamous), dia dilihat tidak pandai berlakon selain dilabel sebagai artis kayu.

Menjadi bahan bualan dan kecaman ramai terutama menerusi penampilannya dalam drama terbaru berjudul Kekasih Hati Mr Bodyguard siaran TV3, Sharifah juga sebelum itu pernah dikaitkan pelakon Izara Aisyah menerusi situasi sindir-menyindir antara pelakon senior dan baharu di Twitter.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya