KUALA LUMPUR: Pelakon, Iesya Toh, menyelar tindakan mana-mana individu yang sanggup memotong barisan dengan menggunakan orang tengah semata-mata untuk menerima suntikan vaksin.
Menurut bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia ( SPM ) itu, sebagai seorang indvidu dan rakyat yang bertanggungjawab, seharusnya seseorang itu patuh pada peraturan yang ditetapkan selain bertimbang rasa dengan menunggu giliran masing-masing.
“Kalau tiada kepentingan atau dikategorikan sebagai risiko tinggi, janganlah buat macam itu, tak baik dan tak berkat tahu. Kita ini nak gunakan tubuh badan yang sihat dan cerdas, nak pakai lama.
“Masing-masing ada cara, tetapi potong barisan guna orang dalam atau menteri, janganlah sekali-kali okey. Tunggu sajalah giliran, tiba masa pergi,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, kecoh di laman media sosial, pelakon, Eina Azman didakwa memotong giliran pengambilan vaksin di salah sebuah hospital di Ipoh, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Pengarah Hospital Permaisuri Bainun, Dr. Abdul Malek Osman tampil dalam satu kenyataan mendakwa pasangan tersebut adalah golongan berisiko tinggi selain nama mereka dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar.