KUALA LUMPUR: Penyampai radio terkenal, Feeya Iskandar atau lebih dikenali sebagai Cik Piah, berharap penggiat seni di luar sana dapat menjaga status selebriti dengan baik dan jangan dijadikan sebagai tiket untuk melanggar Prosedur Operasi Standard ( SOP ) sesuka hati.
Cik Piah, 32, ketika dihubungi berkata, sebagai penyampai radio dia banyak menerima kiriman mesej yang rata-rata tidak berpuas hati terhadap golongan artis kononnya diberi sedikit kelonggaran.
“Kalau buat pun tidak dikenakan hukuman setimpalnya, orang biasa terus kena kompaun. Mungkin yang pegang nama selebriti itu merasakan dia golongan kayangan. Saya bukan golongan kayangan, saya selebriti yang mengikut SOP, patuh apa saja kerajaan cakap.
“Itu tanggungjawab kita, tak kisah status mahupun duit banyak sekali pun jangan sewenang-wenangnya menggunakan kelebihan yang ada untuk melanggar SOP, tak adil untuk orang lain.. Jadi tunjukkan contoh yang baik.
“Kalau tahu perkara itu melanggar SOP tak perlulah muat naik di laman sosial sebab awak tahu netizen akan pertikaikan. Awak sebenarnya yang mencari masalah dan saja nak mencetuskan kontroversi,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Cik Piah yang juga merupakan seorang pelakon dan pengacara, masing-masing berkeinginan untuk pergerakan yang bebas, namun jangan sampai status selebriti itu rosak seperti kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
“Kepada selebriti di luar sana diharapkan dapat memberikan contoh yang terbaik. Tak mahulah orang pandang rendah dekat kita disebabkan selebriti tak reti jaga SOP. Kena jaga nama baik selebriti. Awak kata awak selebriti, kenapa tak reti-reti?” pesannya.