KUALA LUMPUR: Pelakon, Fizo Omar, tampil bersuara berhubung satu video tular seorang lelaki penerima vaksin yang mendakwa magnet melekat di bahagian suntikan pada tubuhnya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video dimuat naik, Fizo Omar atau nama penuhnya Wan Hafizol Wan Omar, 38, berkata, kerajaan sudah berusaha namun jangan pula masyarakat ‘dimomokkan’ dengan video karut.
“Aku geram betullah… aku bersungguh-sungguh buat video ini sebab video tular macam itulah semua orang akan takut nak ambil vaksin. Cuba fikir waras dan jangan kolot sangat, guna akal senang cakap.
“Kepada yang buat video itu cuba buktikan. Janganlah buat video macam itu, kita sama-sama nak lawan wabak ini. Kerajaan dah beli vaksin berbilion-bilion ringgit, kerja kita pergi cucuk sajalah. Ini buat video menakut-nakutkan orang kau kenapa?,” luah Fizo geram.
Video tular sebelum ini mendakwa magnet melekat di bahagian suntikan pada tubuh lelaki itu kerana terdapat cip yang kononnya mampu memantau pergerakkan si penerima vaksin.
Begitu pun, Fizo yang sudah menerima vaksin pada minggu lalu, turut mencuba berulang kali bagi membuktikan sama ada perkara sama ( magnet melekat ), namun tidak berjaya.
“Setakat ini saya dan ibu tak ada kesan sampingan pun. Jangan percayalah benda mengarut ini,” tulisnya.