Beristighfar panjang saat mendengar perihal kerenah seorang penyanyi veteran ini yang mempersoalkan sumbangan raya yang diberikan kepadanya dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Sungguh, ayat seperti ‘Ini sajakah?’ serasa Cik Bunga, seakan tidak manis untuk dilontarkan tatkala pihak yang memberi sumbangan itu sudah tentulah cuba memberikan yang terbaik sebagai tanda ingatan tulus ikhlas.
Ini yang Cik Bunga kurang gemar dengan perangai segelintir artis lama kita ini. Dalam keadaan sekarang, pandemik, ekonomi tidak menentu, sah-sah semua orang sedang terkesan, lebih wajar untuk kita sentiasa meletakkan rasa syukur.
Iyalah, sekurang-kurangnya, masih ada bumbung rumah dan makan pakai sedia ada. Untung pula ada orang nak beri sumbangan. Walaupun bukan duit raya, apalah salahnya kalau di mulut itu mengucapkan kata-kata yang baik.
Ucapan terima kasih sahaja sudah memadai dan besar ertinya. Ini tidak, boleh pula mempersoalkan pemberian itu seolah-olah dia mahukan lebih lagi. Beruntunglah orang masih ingat pada awak, kalau tidak langsung awak tak dapat apa.
Tak tahulah Cik Bunga kalau si artis veteran itu mahu melawak. Tapi gurauan seperti itu tidak kena rasanya pada tempat.
Bawa-bawalah berubah… Jangan rasa diri masih diva sedangkan sudah sebaliknya.